Zaid Ibrahim dakwa pemimpin kerajaan “lagak sombong”, Buat dulu fikir kemudian

Zaid Ibrahim mendakwa pemimpin kerajaan “lagak sombong” kerana tidak mendapatkan maklum balas orang ramai sebelum menguatkuasakan kompaun RM10,000 untuk pelanggaran semua jenis SOP perintah kawalan pergerakan.
Di tengah-tengah kritikan pelbagai pihak, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan kelmarin mengumumkan kerajaan akan perinci kesalahan yang boleh dikenakan kompaun RM10,000.
Katanya, “bagi menangani kekeliruan dalam kalangan masyarakat” menurut laporan Bernama.
“Mengapa tidak sediakan dahulu butiran kesalahan sebelum ordinan dikuatkuasakan?” soal Zaid, yang juga bekas menteri undang-undang.
“Ini semua sebab sifat sombong. Buat dulu fikir kemudian.”
Zaid berkata, kerajaan tidak sanggup mengubah ordinan tersebut walaupun tahu denda RM10,000 itu tidak wajar.
Takiyuddin sebelum ini berkata kerajaan akan mengekalkan kompaun RM10,000 itu, dengan jaminan untuk selesaikan pelaksanaannya.
“Kalau mereka kurang sombong apa salahnya tarik balik ordinan tersebut dan buat peraturan baru yang lebih munasabah,” kata Zaid.
Katanya lagi, “lagak sombong” pemimpin kerajaan sudah menjadi perkara biasa, kerana tidak ada banyak ruang untuk mempersoalkan dan mengehadkan kuasa mereka apabila Parlimen tidak bersidang semasa darurat.
“Maklumlah pemimpin politik di negara ini luas bidang kuasa mereka,” tambahnya. | FMT