Zahid ‘digesa’ tidak sembunyikan rekod cemerlang Muhyiddin sebagai pengerusi MPN

Zahid ‘digesa’ tidak sembunyikan rekod cemerlang Muhyiddin sebagai pengerusi MPN

Zahid ‘digesa’ tidak sembunyikan rekod cemerlang Muhyiddin sebagai pengerusi MPN.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi digesa untuk tidak menafikan kejayaan-kejayaan yang telah dilakukan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Mohd Taufik Yaacob

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Mohd Taufik Yaacob berkata tindakan Ahmad Zahid menyerang Muhyiddin dengan mengatakan fungsi MPN sudah tidak berkesan adalah berniat jahat untuk mengalih perhatian kes-kes perbicaraan di mahkamah dan masalah dalam Umno.

“Ahmad Zahid tidak perlu reka cipta nak tutup kes-kes beliau hadapi termasuk kes dalaman parti,” katanya ketika dihubungi.

Ahmad Zahid dalam kenyataan berkata, fungsi MPN sudah tidak berkesan dan bercanggah dengan usaha-usaha terkini kerajaan untuk menangani masalah-masalah rakyat dengan tertubuhnya Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.

Menurut Ahmad Zahid, kewujudan MPN yang dipengerusikan Muhyiddin dari awal lagi tidak membuahkan hasil dan berfungsi hanya sebagai penasihat kepada kerajaan.

Dalam pada itu, Taufik mencabar Ahmad Zahid untuk menyenaraikan kejayaan-kejayaannya semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya, jika ingin dibandingkan dengan Muhyiddin ketika menjadi Perdana Menteri sewaktu kerajaan Perikatan Nasional (PN) sangat jauh.

Beliau berkata Muhyiddin telah membuktikan kejayaannya menjadi perdana menteri dengan usaha memulihkan negara daripada Covid-19 dan ekonomi negara.

“Kita boleh menilai pemimpin cemerlang semasa jadi perdana menteri yang berusaha memulih negara cukup baik.

“Mengapa Zahid tak cerita kejayaan Muhyiddin menjadi Perdana Menteri,” soalnya.

Tambahnya, Zahid menyerang Muhyiddin bagi menutup kelemahannya memimpin Umno.

“Jadi sebab kes banyak sangat, nak tutup kelemahan, dia buat serangan fitnah kepada Muhyiddin,” katanya.