Zafrul tersilap atau ugut – A Kadir Jasin

Zafrul tersilap atau ugut – A Kadir Jasin

Wartawan veteran A Kadir Jasin mempersoalkan apakah Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz tersilap atau sengaja membuat ugutan dalam memberikan kenyataan berkenaan Belanjawan 2021 beberapa hari lalu yang mengundang kontroversi.

Ini ekoran kenyataan Tengku Zafrul pada 14 Nov bahawa kerajaan tidak dapat membayar gaji penjawat awam dan menjejaskan petugas barisan hadapan sekiranya belanjawan tidak diluluskan, yang dikritik sesetengah pihak, khususnya pembangkang.

Katanya, Tengku Zafrul nampak seolah-olah sama ada tersilap, atau sengaja bermain politik – yang jika demikian, katanya, merupakan satu perbuatan jahat kerana memperalatkan kakitangan awam bagi memaksa penerimaan belanjawan yang disifatkannya “cacat dan tidak berpatutan”.

“Dia kena ingat bahawa dia hanyalah budak hingusan dalam tendang terajang politik.

“Yang akan ditendang keluar kalau dia gagal meyakinkan majoriti ahli Dewan Rakyat mengenai Belanjawan 2021 adalah kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sedangkan, katanya memetik kenyataan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, parlimen masih boleh meluluskan perbelanjaan tertentu sebelum Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) diluluskan mengikut Perkara 102 Perlembagaan Persekutuan.

“Hal ini ditujukan khas kepada keadaan luar biasa. Kalau memerangi Covid-19 dan membayar gaji kakitangan awam, khususnya mereka di barisan hadapan, bukan keperluan luar biasa, apa lagi?” soalnya.

Untuk rekod, menurut Perkara 102, jika dalam keadaan “yang luar biasa keterdesakannya”, parlimen boleh membenarkan perbelanjaan bagi “sebahagian” tahun kewangan sehinggalah RUU Perbekalan diluluskan.

Selain Haniff, beberapa pemimpin pembangkang turut membidas Tengku Zafrul atas kenyataannya yang disifatkan sebagai berbaur ugutan, antaranya presiden PKR Anwar Ibrahim dan veteran DAP Lim Kit Siang.

Susulan itu, Kadir mencadangkan ahli parlimen daripada kedua-dua belah berpakat melaksanakan peruntukan Perkara 102 (a) dan (b) supaya pentadbiran asas negara dan usaha memerangi Covid-19 tidak terjejas akibat ketidaksetujuan mengenai Belanjawan 2021.

Lagipun, katanya, bukan semua ahli parlimen PN bersetuju dengan cadangan belanjawan, melainkan mereka yang “mendapat habuan” sebagai menteri, timbalan menteri, dan jawatan GLC sahaja yang dakwanya bemati-matian menyokong.

Kadir juga mencadangkan Tengku Zafrul menasihat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kabinetnya tentang bagaimana untuk memperbaik cadangan belanjawan dengan mengambil kira cadangan ahli parlimen, termasuk daripada wakil pembangkang.

“Berbalik kepada Tengku Zafrul, boleh jadi tujuan dia dilantik menjadi menteri kewangan adalah untuk membebaskan kementerian itu daripada politik kepartian.

“Jadi eloklah dia tidak bermain politik melainkan tujuannya selepas ini adalah menjadi ahli politik sepenuh masa,” katanya lagi.

 

Sumber berita : https://www.malaysiakini.com/news/551239