“Yang tidak setuju kita ucap terima kasih…” Anwar tetap calon PM dari PH

“Yang tidak setuju kita ucap terima kasih…” Anwar tetap calon PM dari PH

Amanah menghormati tindakan parti pembangkang di luar gabungan Pakatan Harapan (PH) termasuk Pejuang menamakan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri buat kali ketiga jika parti itu menang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata, walaupun Pejuang telah mengumumkan Mahathir sebagai calon perdana menteri, ia tidak sedikitpun mengubah perjanjian yang dibuat antara parti komponen PH untuk mengangkat Anwar Ibrahim bagi jawatan berkenaan.

"Yang tidak setuju kita ucap terima kasih..." Anwar tetap calon PM dari PH

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub

“Kalau parti-parti pembangkang lain tak setuju (dengan pencalonan Anwar sebagai calon PM) kita ucap terima kasih, itu hak mereka tapi ia tidak boleh mengubah perjanjian kita dalam PH menamakan Anwar sebagai calon PM,” katanya.

Ditanya sama ada langkah Pejuang menamakan Mahathir sekali lagi sebagai calon perdana menteri akan menyukarkan usaha pembangkang membentuk kerjasama “khemah besar” bagi menghadapi PRU15, dan mengulangi sejarah perebutan jawatan, Salahuddin berkata ruang rundingan kerusi masih terbuka untuk dibincang bagi mengelak pertembungan lebih besar antara blok itu.

“Soal rundingan kerusi masih boleh bincang antara pembangkang. Walaupun ada parti mahu orang tertentu sebagai calon PM, yang penting antara pembangkang kita usaha satu lawan satu, elak banyak pertembungan.

“… sebab itu kita tidak mahu isu jawatan perdana menteri menjadi satu benda yang tak elok, kalau nak bincang sampai kiamat kita tak boleh selesai isu PM. Jadi bagi PH siapa nak bersama kita untuk menentukan satu lawan satu kita alu-alukan,” katanya dengan menambah tidak perlu meletakkan syarat siapa yang akan dilantik sebagai perdana menteri kelak.

Sementara itu, Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar mengingatkan pemimpin parti pembangkang supaya tidak mengikut jejak parti kerajaan yang merebut jawatan sebaliknya fokus mencari jalan membantu rakyat dan menyelamatkan negara.

“Saya harap semua pemimpin politik buang air dalam kepala, supaya mereka boleh fikir secara tenang, yang perlu difikirkan ialah soal rakyat dan masa depan negara bukan soal merebut jawatan – ini menyebabkan rakyat makin muak dengan orang politik,” katanya.

Terdahulu Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Khairuddin Abu Hassan berkata, Pejuang berhak mencalonkan Mahathir sebagai calon perdana menteri buat kali ketiga jika parti itu menang PRU15.