Warganegara India dianiaya, kerja 16 jam sehari, dibayar RM500 sebulan

Warganegara India dianiaya, kerja 16 jam sehari, dibayar RM500 sebulan

Seorang pekerja warganegara India yang dianiaya majikannya di Pahang, diselamatkan dalam satu operasi dijalankan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Tenaga Kerja Negeri Pahang, semalam.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata tindakan itu dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat dalam bentuk kiriman video sebelum mereka menjalankan operasi menyelamat di sebuah premis di Raub.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati majikan dan pekerja itu sendiri terbabit melakukan beberapa kesalahan manakala ejen yang didakwa membawa masuk pekerja terbabit sudah dikenalpasti.

Katanya, mangsa dijanjikan permit bekerja selepas ejen membawanya masuk ke Malaysia pada 2019 dengan pas lawatan sementara, namun urusan permohonan permit tertangguh dengan alasan negara berdepan wabak Covid-19 menyebabkan pekerja terbabit bekerja tanpa permit yang sah.

“Majikan pula mengambil kesempatan menggajikan dia dengan bayaran RM1,500 sebulan dan membuat potongan yang tidak perlu. Antaranya termasuklah potongan sewa bilik dan elaun makan yang mana ia perlu mendapatkan permit kebenaran daripada JTK.

“Jumlah baki gaji pekerja sepatutnya RM800 selepas potongan, namun majikan hanya membayar RM500 setiap bulan.

“Pekerja terbabit dikerah untuk bekerja selama 16 jam berbanding tempoh yang dibenarkan iaitu 12 jam dan tidak diberikan cuti rehat,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Saravanan berkata, pekerja terbabit juga tidak dibayar gaji selama lebih tujuh bulan sehingga menyebabkan mangsa mengambil tindakan membuat aduan menerusi rakaman video dan menyerahkannya kepada kementerian itu.

Beliau berkata, JTKSM juga sudah berbincang dengan majikan dan mendapatkan baki tunggakan gaji sebanyak RM6,000 yang dibayar secara tunai pada hari yang sama.

Katanya, pekerja itu dibawa dan diserahkan kepada pihak Kedutaan India di Kuala Lumpur untuk proses penghantaran pulang ke negara asal.

“Kedutaan memaklumkan bahawa pekerja terbabit akan dihantar pulang dalam tempoh masa seminggu selepas proses dokumentasi selesai.

“Urusan penghantaran ini dilakukan sepenuhnya oleh pihak Kedutaan India. Kementerian ingin menegaskan bahawa kita tidak akan sesekali berkompromi dalam isu membabitkan salah guna tenaga kerja dan penganiayaan terhadap pekerja tidak kira pekerja tempatan mahupun pekerja asing,” katanya. | HM

COMMENTS