Walaupun potong 50%, kompaun tinggi langgar SOP terus dikecam

Langkah kerajaan memberikan potongan 50 peratus ke atas orang ramai yang membayar kompaun kerana melanggar SOP dalam masa tujuh hari dikecam oleh orang ramai termasuk tokoh wartawan.
Bagi mereka, kerajaan mencari penyelesaian mudah apabila membuat tawaran potongan 50 peratus itu padahal jumlah RM5,000 selepas potongan 50 peratus dari RM10,000 itu sangat besar untuk rakyat biasa.
“Mudahnya solusi kerajaan PN. Bayar cepat potong 50%. Dia tak fikir ka, RM5,000 tu banyak. Tak termampu oleh ramai orang,” kata Datuk A Kadir Jasin dalam tulisan beliau menerusi Facebook.
Peguam Zulhazmi Shariff pula mengecam peraturan yang berubah-ubah yang dibuat oleh kerajaan dengan menyifatkannya sebagai cacamerba.
“Kita ingat zaman BN jadi kerajaan dulu dah cukup serabut dan caca marba, sekali puak lebai bercampur dengan puak gila dan khianat jadi kerajaan lagi teruk.
“SOP berubah-ubah, peraturan berubah-ubah, semuanya ikut sedap nak buat saja,” kata beliau.
Semalam, Menteri Undang-undang Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan memberikan tawaran kompaun 50 peratus ke atas pesalah kerana melanggar SOP kerajaan jika mereka membuat bayaran dalam masa tujuh hari.
“Seseorang individu atau syarikat yang disaman dan dikenakan amaun tertentu, jika mereka membayar dalam tempoh satu ke tujuh hari, secara automatik dapat diskaun 50%,” katanya pada sidang media.
Mereka yang membayar kompaun dalam masa 14 hari juga akan diberi diskaun 25%, tambahnya.
Selain isu jumlah kompaun yang banyak dan sukar untuk dibayar oleh rakyat biasa, isu double standard juga dikecam oleh orang ramai.
Ini kerana, sejak dari awal lagi, ramai menteri-menteri Kabinet yang terlepas dari dikenakan kompaun sedangkan rakyat biasa mudah sangat dikenakan kompaun.
“Selain itu, lagi satu hal. Rakyat jelata buat, salah. Mereka buat, tak salah. Sudah lebih daripada double standard,” kata Kadir Jasin.
Sebelum ini, Menteri Perusahaan Perdagangan dan Komoditi datuk Dr Kahiruddin Aman Razali telah terlepas dari kompaun yang sepatutnya dikenakan ke atas beliau kerana tidak mematuhi kuarantin 14 hari selepas pulang dari Turki.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa juga tidak dikenakan sebarang tindakan selepas didapati makan beramai-ramai di satu meja ketika kerajaan menetapkan SOPnya adalah dua orang satu meja sahaja.
Pihak polis berkata, mereka menunggu arahan dari Jabatan Peguam Negara samada tindakan perlu dikenakan ke atas Annuar Musa atau tidak.
Sehingga kini tidak ada sebarang kompaun dikenakan ke atas Annuar Musa, penyokong kuat kerajaan Perikatan Nasional itu walaupun partinya Umno mahu berpisah dari Bersatu.
Namun rakyat biasa yang melanggar peraturan akan terus dikenakan kompaun walaupun hanya kerana terlupa untuk mendaftar ketika memasuki sesebuah kedai makan.
Pada 24 jam pertama selepas dikuatkuasakan pada 11 Mac lalu, seramai 330 individu telah dikompaun sebanyak RM10,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, orang awam sewajarnya menjadikan kenaikan kompaun itu sebagai satu peringatan agar tidak mengambil mudah dalam pematuhan SOP. | MD