Walau bukan MP, Khaled perlu juga letak jawatan Pengerusi Boustead

Bersama tegangnya hubungan dengan Bersatu ketika ini, tuntutan paling banyak kedengaran ialah agar Ahli-Ahli Parlimen UMNO segera melepaskan semua jawatan masing-masing dalam kerajaan.
Menteri, Timbalan Menteri dan Pengerusi GLC diminta tidak berlengah lagi melepaskan jawatan masing-masing, sesuai dengan usul majoriti UMNO bahagian-bahagian yang tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu serta menolak kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin.
Setakat meluluskan usul tapi tidak disusuli dengan menarik sokongan serta melepaskan semua jawatan dalam kerajaan yang dilantik oleh Muhyiddin, semuanya tidak bermakna apa-apa.
Malah, ia hanya memperlihatkan mereka sebagai pemimpin yang lebih sayangkan jawatan daripada perjuangan.
Dalam hubungan ini, ada laporan menyebut bahawa dalam perjumpaan dengan Ketua-Ketua UMNO Bahagian pagi tadi, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dikatakan memang ada membangkitkan soal keperluan berundur daripada kerajaan itu.
Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan sambil enggan mengesahkan laporan tersebut berkata, sebarang keputusan dalam perjumpaan dengan Ketua-Ketua Bahagian hari ini akan dibawa untuk perbincangan dalam mesyuarat MT UMNO.