{VIDEO} Penyokong ‘risau’ penyerang bernilai RM448 juta tapi tendang ‘ke langit’

{VIDEO} Penyokong ‘risau’ penyerang bernilai RM448 juta tapi tendang ‘ke langit’

Penyokong Liverpool mula bimbang dengan prestasi pemain berharga £85 juta (RM448 juta) Darwin Nunez selepas video dia terlepas peluang terbaik ketika aksi pramusim tular di media sosial.

The Reds kini berada di Thailand sebagai persiapan menghadapi musim baharu Liga Pedana dengan penyerang baharu itu tersenarai dalam skuad.

Pemain antarabangsa Uruguay berusia 23 tahun itu diberi tanggungjawab besar mengisi tempat Sadio Mane selepas bintang Senegal itu meninggalkan Anfield dan menyertai gergasi Bundesliga, Bayern Munich pada musim panas ini.

Bekas peledak Benfica itu menendang bola melepasi gawang dalam kotak penalti selain gagal mengawal bola dengan baik ketika tewas 0-4 kepada Manchester United dalam aksi pramusim di Bangkok semalam.

Namun masih terlalu awal menghukum Nunez yang meledak 34 gol dalam 41 perlawanan untuk Benfica musim lalu, antara rekod terbaik di Eropah.

Bagaimanapun, penyokong Reds tetap bimbang dengan kemampuan penyerang itu dan melahirkan kegusaran mereka di media sosial.

Nunez menarik perhatian pengurus Jurgen Klopp selepas menjaringkan gol pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara menentang Liverpool.