Video matahari dilihat terbit dari arah utara tular, ini cerita sebenar

Video matahari dilihat terbit dari arah utara tular, ini cerita sebenar

Sebelum ini pernah tular satu video dari Indonesia yang memaparkan fenomena alam di mana matahari dilihat terbit dari arah utara, bukan timur seperti lazimnya.

Fenomena yang berlaku pada 17 Jun tahun lalu dirakam di Jeneponto, Indonesia pada jam 8 pagi.

Andi Pengerang dari Pussainsa (Pusat Sains Antariksa) LAPAN, Indonesia berkata spekulasi dalam video itu terlalu berlebihan sehingga mengaitkannya dengan kiamat, lapor Kompas.

Penyelidik dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Madya Dr. Roslan Umar berkata perkara ini sebenarnya adalah fenomena alam yang biasa kerana pergerakan matahari berubah setiap bulan.

Jelasnya lagi, matahari kelihatan terbit dan terbenam masing-masing tepat di ufuk timur dan barat hanya pada bulan Mac dan September.

Menurut Balai Cerap Selangor, lokasi matahari tidak statik pada satu tempat yang sama sepanjang tahun dan tidak semestinya ia terbit tepat dari arah timur selepas waktu subuh.

Contohnya, anda boleh lihat kedudukan matahari terbit sepanjang tahun di Amman, Jordan di bawah yang diambil oleh Zaid M. Al-Abbadi.

Kejadian semula jadi ini berlaku disebabkan oleh kecondongan paksi bumi sebanyak 23.5 darjah ketika mengelilingi matahari.

Dalam kejadian seperti di atas, matahari akan berada pada kedudukan paling jauh ke utara dari khatulistiwa.

Fenomena ini sebenarnya memang dapat disaksikan di banyak kawasan di Indonesia terutamanya yang berada di garisan Khatulistiwa dan ia akan berlaku setiap tahun dalam bulan Jun (Solstis Jun) di mana matahari akan berada betul-betul di atas Garisan Sartan untuk tempoh selama satu hari.

Perkara yang sama turut akan berlaku dalam bulan ini di mana Agensi Angkasa Malaysa (MYSA) juga telah memberitahu di laman web mereka bahawa Solstis Jun akan bermula jam 5:31 PM 21 Jun 2022 iaitu pada Selasa depan.

Jelas MYSA, “Matahari akan berada pada kedudukan paling jauh ke utara dari khatulistiwa iaitu di atas Garisan Sartan (23.5º Utara) pada jam 17:13.”

Ia menandakan bermulanya musim panas di Hemisfera Utara dan bermulanya musim sejuk di Hemisfera Selatan. Waktu siang menjadi lebih panjang dan waktu malam menjadi lebih pendek di Hemisfera Utara sementara waktu siang menjadi lebih pendek dan waktu malam menjadi lebih panjang di Hemisfera Selatan.

Ini juga tidak bermakna kiblat umat Islam berubah kerana kiblat kita ialah Kaabah, bukannya matahari. Selama ini, dalam beberapa situasi kita menjadikan matahari sebagai petunjuk kerana ada waktu ia berada betul-betul selari dengan Kaabah.