{VIDEO} Banjir Baling : Penduduk putih mata, rumah musnah, kedai hanyut

{VIDEO} Banjir Baling : Penduduk putih mata, rumah musnah, kedai hanyut

Banjir Baling: Penduduk putih mata, rumah musnah, kedai hanyut.

Luluh perasaan seorang pengusaha kedai kek di Kampung Iboi, Baling, Kedah, apabila kedai yang selama ini menjadi punca rezekinya musnah sekelip mata dihanyutkan banjir.

Menurut Nurul Halimah Kuin, 29, kejadian berlaku dengan sangat pantas menyebabkan beliau bersama beberapa pekerjanya hanya sempat menyelamatkan diri dan terpaksa meninggalkan barangan serta peralatan lain.

“Masa tengok kedai tempat kita cari rezeki habis terbenam, memang perasaan ketika itu susah nak gambarkan, memang sedih sangat,” katanya.

“Tak sampai 10 minit, air dah naik sampai paras dada. Selepas gelombang pertama banjir, gelombang kedua tiba dalam masa tak sampai lima minit, waktu (itu) nampak dah kayu-kayan, balak turun.”

 

Halimah berkata, keadaan lebih genting apabila ibunya dan seorang pekerjanya hampir terperangkap di dalam kedai setelah beberapa barangan dan peralatan, termasuk peti ais, menghalang laluan keluar.

Nurul Halimah Kuin.

“Masa itu, mak saya datang nak tolong. Kami yang lain sempat keluar, tinggal mak dengan seorang pekerja masih ada di dalam (kedai), dengan peti ais menghalang (laluan keluar).

“Saya cepat-cepat minta tolong orang ramai, mujur mereka sempat diselamatkan tak lama sebelum kedai hanyut,” katanya sambil menambah ini kali pertama banjir teruk sebegini melanda kampungnya.

Gendong anak selamatkan ibu

Seorang lagi peniaga di Kampung Iboi yang hanya dikenali sebagai Adawiyah mengalami kerugian lebih RM50,000 apabila semua barangan dan peralatan di kedai runcitnya rosak, malah ada yang dihanyutkan banjir. Rumahnya turut dimasuki balak.

Menceritakan detik cemas itu, Adawiyah berkata, apabila menyedari air mula naik, beliau cuba mengalihkan empat kereta miliknya dan keluarga ke tempat selamat, sambil menggendong anaknya.

Namun, usahanya gagal apabila paras air naik dengan cepat.

“(Paras) air naik laju. Masa nak pergi alih kereta, air dah sampai takat dada,” katanya.

Lebih mencemaskan, katanya, apabila ibunya masih berada di dalam rumah ketika air naik.

“Dah tak fikir harta benda waktu itu, susah hati tengok air naik, tapi mak tak ada.”

Nasib menyebelahi mereka apabila beliau kemudian dimaklumkan ibunya selamat setelah dibantu orang ramai.

Banjir sudah dijangka

Penasihat Sahabat Alam Sik, Mohd Sobri Ramlee berkata, pihaknya menyifatkan kawasan bencana seperti “bom jangka” yang akan dilanda banjir pada bila-bila masa, dan mereka pernah me­nyuarakan kebimbangan mengenainya.

Berdasarkan pemerhatian bersama penduduk kampung sebelum ini, katanya, beliau tidak menolak kemungkinan fenomena kepala air di Gunung Inas berpunca daripada kegiatan penerokaan tanah.

“Saya sebenarnya sudah bangkitkan isu ini sebelum terjadinya banjir, cuma pihak berwajib tidak ambil maklum. Pada 2018, saya dah pergi ke kawasan itu (Gunung Inas) bersama wakil Exco alam sekitar dan penduduk kampung.

“Berdasarkan pemerhatian, terdapat beberapa kolam takungan dibina bagi mengurangkan pengaliran terus lumpur ke sungai berdekatan, dan ada kemungkinan kolam itu pecah kerana tidak dibina mengikut standard Jabatan Alam Sekitar,” katanya ketika dihubungi.

Sehubungan itu, pihaknya menggesa penilaian impak alam sekitar (EIA) dijalankan semula dengan mengambil kira maklumat terkini, manakala penilaian impak sosial (SIA) perlu dijalankan secara menyeluruh.

Bencana banjir di Baling kelmarin dilapor mengorbankan tiga sekeluarga, termasuk seorang ibu hamil empat bulan di Kampung Iboi, selepas rumah mereka dihanyutkan arus deras.