(VIDEO) 14 tahun berlalu, saya hanya mahu keadilan untuk Nurin, kata bapa

(VIDEO) 14 tahun berlalu, saya hanya mahu keadilan untuk Nurin, kata bapa

Jam di dinding menunjukkan 3 pagi ketika Jazimin Abdul Jalil terjaga dari lena, situasi yang menghantuinya sejak 14 tahun lalu.

Setiap kali terjaga, perkara pertama menjengah fikirannya adalah bayangan anak perempuan kesayangan yang tidak mungkin akan dilihatnya lagi.

Pengawal peribadi itu berjalan ke ruang bilik hadapan di teratak kecil mereka di Setapak, membelek gambar lama untuk melepaskan rindu terhadap anak keduanya, Nurin Jazlin.

Walaupun gambar dalam album itu pudar dimamah usia, namun kenangan terhadap Nurin, seorang anak yang sangat periang satu ketika dulu, masih segar dalam ingatan.

“Dia seorang anak yang sangat baik, matang dan ambil berat terhadap kakak dan adiknya. Jika adik-adiknya bertekak, dia akan menjadi pendamai dan cuba menyelesaikan masalah,” kata Jazimin kepada FMT.

Namun, semuanya berubah sejak 20 Ogos 2007, apabila Nurin ketika itu berusia 8 tahun diculik di luar apartmen mereka di Wangsa Maju. Selepas 28 hari kemudian, tubuh seorang kanak-kanak tanpa seurat benang di dalam beg ditemui di depan sebuah premis di Petaling Jaya, kira-kira 20km dari kediaman mereka.

“Saya tidak boleh terima kehilangan Nurin dengan cara begini. Tidur saya tidak pernah lena kerana individu yang melakukan perbuatan kejam terhadap anak saya masih bebas.

“Kalau kematian anak saya melibatkan kemalangan kereta atau lemas dalam kolam, nak tak nak kita reda. Tetapi apa yang terjadi kepada anak saya membabitkan pihak ketiga. Ia pemergian yang sangat menyentuh hati,” katanya.

Lebih menyeksakan Jazimin apabila dia tidak berpeluang berjumpa Nurin pada hari kehilangannya.

“Saya balik dari kerja dan tertidur. Apabila sedar, saya tengok Nurin tiada di rumah. Saya mencarinya sebelum membuat laporan polis. Saya sangat kecewa kerana tidak dapat berjumpa dengannya hari itu.”

Jazimin berkata, dia hanya mahukan keadilan untuk anak perempuan kesayangannya dan tidak akan tenteram selagi ia tidak ditegakkan.

“Saya tidak tahu siapa pelakunya, di mana dia berada, sama ada dia sudah mati atau tidak. Saya harap pihak berkuasa akan membantu saya menangkapnya, menggunakan apa saja kepakaran, teknologi terbaik yang ada.”

Bapa kepada lima anak itu berharap satu hari nanti dia dapat berdepan dengan penculik Nurin jika pelaku ditangkap.

Memperingati Nurin

Selepas kes penculikan, rogol dan pembunuhan Nurin, pihak berkuasa menubuhkan sistem amaran awal untuk kanak-kanak hilang dikenali sebagai Rangkaian Maklumat Tindak Balas Segera Kebangsaan (NURIN).

Kemudian, dilaporkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika itu Shahrizat Abdul Jalil menamakannya kepada Nationwide Urgent Response (NUR).

Jazimin berharap nama asal bagi sistem amaran itu akan ditukar semula supaya orang ramai ingat apa berlaku kepada Nurin, sama seperti amaran “America’s Missing: Broadcast Emergency Response (AMBER)” di Amerika Syarikat yang sinonim dengan Amber Hagerman berusia 9 tahun ketika diculik dan dibunuh pada 1996.

“Kita tidak tahu apa yang ada di luar sana, banyak jenayah yang kita tidak nampak. Jadi kita kena ingat supaya perkara ini tidak berulang,” kata Jazimin yang kini mengusahakan gerai makan.

Jika masih hidup, Nurin kini berusia 22 tahun dan Jazimin sering terbayang anaknya itu membesar sebagai orang dewasa.

“Kadang-kadang bila ada anak gadis datang ke gerai saya dan saya akan tanya umur mereka. Mereka cakap ’22 tahun’,..sebaya Nurin.”

Selepas 14 tahun peristiwa hitam itu, kes Nurin masih belum selesai dan usaha Jazimin menuntut keadilan untuk anak perempuannya masih belum menemui harapan.

Dia bagaimanapun bersyukur kerana ramai yang mengingati anaknya.

“Alhamdulilah, orang masih mengingatinya. Saya menyimpan gambarnya di gerai saya, orang melihatnya dan mereka mengenalinya, mereka bertanya kepada saya sama ada saya bapanya.”

Berita penuh | FMT

COMMENTS