Upah banduan berperang di Ukraine terbongkar

Upah banduan berperang di Ukraine terbongkar

Upah banduan berperang di Ukraine terbongkar.  Tentera Russia didakwa membebaskan segerombolan banduan dari penjara untuk berperang di barisann hadapan menentang askar Ukraine, lapor akhbar Metro News UK kelmarin.

Satu rakaman video yang bocor di media sosial memaparkan seorang individu mirip sekutu rapat Presiden Vladimir Putin iaitu Yevgeny Prigozhin memberi ucapan di hadapan barisan banduan di pekarangan penjara Yoshkar-Ola, barat Russia.

Beliau memberitahu banduan berkenaan bahawa mereka akan dibebaskan sekiranya berjaya mengharungi perang menentang askar Ukraine selama sekurang-kurangnya enam bulan di bawah seliaan Wagner Group.

Wagner Group adalah sebuah syarikat tentera upahan yang dianggap sebagai tentera persendirian Putin.

Prigozhin dipercayai bertindak sebagai pengarah syarikat walaupun pembiayaannya diselubungi kerahsiaan.

“Jika anda berkhidmat enam bulan untuk Wagner, anda akan dibebaskan tanpa syarat.

“Namun, jika anda tiba di Ukraine dan memutuskan peperangan bukan untuk anda, anda akan dibunuh,” kata Prigozhin.

Proses penghapusan banduan yang enggan berperang akan dibuat menerusi hukuman mati menggunakan skuad penembak tanpa sebarang prosedur mahkamah atau undang-undang.

“Peperangan ini sangat sukar dan bukan seperti pertempuran dengan orang Chechen yang pernah anda dengar,” tegas beliau.

Tiada prosedur yang diketahui dalam undang-undang Rusia membenarkan hukuman penjara dihapuskan sebagai pertukaran untuk perkhidmatan tentera.

Perekrut dari Wagner membuat tawaran serupa di sekurang-kurangnya tiga buah penjara termasuk di St Petersburg dan Leningrad.

Banduan yang menjadi askar upahan dikatakan akan menerima bayaran bersamaan £2,600 (RM13,460) jika mereka dapat bertahan selama enam bulan walaupun tidak dokumen perjanjian berhubung tawaran tersebut.

Wagner juga didakwa berjanji akan membuat pembayaran sekitar £66,000 (RM341, 684) kepada ‘orang tersayang’ masing-masing sekiranya banduan terbabit terbunuh semasa berkhidmat.