Undang-undang diguna untuk sesuatu yang tidak demokratik, adil – Tun M

Undang-undang diguna untuk sesuatu yang tidak demokratik, adil – Tun M

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat bahawa undang-undang ketika ini digunakan untuk melakukan sesuatu perkara yang tidak demokratik dan adil.

Jelas beliau, perkara itu boleh dilakukan dengan hanya menggunakan peraturan undang-undang dalam sistem demokratik.

“Satu perkara yang melibatkan sistem demokrasi adalah kerajaan dan rakyat harus mematuhi undang-undang.

“Kita semua percaya, jika kita patuhi undang-undang maka kita akan miliki kerajaan dan rakyat akan dilindungi menerusi pematuhan undang-undang.

“Namun, ketika ini kita melihat undang-undang digunakan untuk melakukan sesuatu yang tidak dianggap demokratik atau adil,” tulis Ahli Parlimen Langkawi itu di blog peribadinya Chedet.cc.

Jelasnya lagi, biarpun perkara tersebut secara amnya dilihat salah, namun undang-undang mengatakan bahawa ia sah dan ia sebahagian daripada peraturan undang-undang yang perlu dipatuhi.

“Sebagai contoh, rakyat boleh memilih kerajaan yang mereka mahukan menerusi pilihan raya.

“Namun kini kita melihat kerajaan yang dipilih rakyat itu boleh digantikan dengan kerajaan daripada bukan pilhan rakyat.

“Yang kalah dalam pilihan raya memerintah dan yang menang dalam pilihan raya menjadi pembangkang,” ujarnya.

Malah, ujarnya lagi, undang-undang juga telah menyebabkan tertuduh terlepas daripada pertuduhan yang didakwa ke atasnya.

“Seorang bekas Ketua Menteri yang berdepan dengan 42 pertuduhan diatas salah laku juga telah dibebaskan dari pertuduhan setelah ditarik semula oleh Peguam Negara.

“Sekali lagi, ia adalah sah mengikut perundangan. Peguam Negara mempunyai hak untuk menarik semula pertuduhan tersebut dan ia tidak melanggar undang-undang.

“Dalam kes berasingan, tertuduh telah memulangkan semula sebahagian wang yang didakwa dicuri.

“Dia kemudiannya dilepaskan dari pertuduhan dengan syarat dia memulangkan semula baki wang tersebut nanti.
“Ia juga sah di sisi undang-undang.

“Mungkin tidak lama lagi, individu yang bersalah kerana menyeleweng jutaan ringgit duit kerajaan juga akan diampunkan dan ia juga sah di sisi undang-undang,” jelas Dr Mahathir.

Tambahnya, semua perkara ini mengikut penguatkuasaan undang-undang di mana pesalah boleh bebas daripada dikenakan hukuman dan ini boleh menyebabkan pesalah tidak takut untuk melakukan jenayah.

“Ia menunjukkan bahawa peraturan undang-undang boleh disalahgunakan dan keadilan tidak boleh ditegakkan,” tulis Dr Mahathir.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-politik/undangundang-diguna-untuk-sesuatu-yang-tidak-demokratik-adil-tun-m-273359