UMNO tegas tiada lanjutan MoU Kerajaan, PH

UMNO tegas tiada lanjutan MoU Kerajaan, PH

UMNO tegas untuk tidak melakukan sebarang lanjutan memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik di antara Kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ini kerana perkara itu sudah diputuskan dalam Mesyuarat Kerja Tertinggi (MKT) parti itu dengan pimpinan orang ramai sedia maklum tentang keputusan tersebut.

Datuk Seri Ahmad Maslan

“MKT UMNO putuskan tiada lagi lanjutan kepada MoU antara Kerajaan dan PH. Kami menganggap apabila MoU sebut tidak boleh bubar Parlimen sebelum 31 Julai 2022, maka itulah tarikh tamat MOU.

“Pimpinan tahu tentang keputusan MKT ini dan sudah diumum pun kepada org ramai. #RakyatDidahulukan bukan PH,” katanya dalam satu hantaran di Twitter, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, PH yang baharu akan membincangkan semula terma dalam MoU di antara kerajaan dan pembangkang mengenai tarikh penamatan perjanjian itu.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana dalam MoU itu tidak hanya disebut perjanjian akan berakhir pada 31 Julai, tetapi sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diumumkan.

Katanya, lagi pun parti dalam PH seperti PKR dan DAP kini mempunyai barisan kepimpinan yang baharu.