UMNO sedia kerjasama PH bentuk kerajaan di Perak

IPOH – UMNO sedia bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP untuk membentuk kerajaan baharu di Perak sekiranya jajaran gabungan parti terdahulu tidak dapat diteruskan.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, buat masa ini, UMNO seboleh mungkin mahu kerajaan yang dibentuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas di bawah pimpinan Menteri Besar terdahulu dikekalkan.
“Namun kita tahu daripada kenyataan Setiausaha Agung Pas dan Bersatu, maka satu perikatan akan diambil oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi menentukan pembentukan kerajaan baharu di negeri ini.
“Ianya akan mengambil kira semua pertimbangan politik agar kerajaan yang akan terbentuk merupakan kerajaan yang lebih kukuh dokongannya,” katanya kepada pemberita selepas menghadap sembah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta di sini hari ini.
Ditanya adakah pertimbangan politik itu termasuk kerjasama dengan PH dan DAP, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, kemungkinan itu ada tertakluk kepada keputusan muktamad yang akan dilakukan pihak parti nanti.
“Kita akan lihat semua kemungkinan, saya sebutkan seboleh mungkin kita kekalkan jajaran terdahulu, tetapi jika itu tidak dapat dilakukan, tentu ada penyesuaian yang harus dilakukan untuk melakukan penjajaran yang baru,” katanya.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/113522/BERITA/Politik/UMNO-sedia-kerjasama-PH-bentuk-kerajaan-di-Perak