Umno ‘bisu’ ketika Najib perjuangkan perbicaraan adil

Umno ‘bisu’ ketika Najib perjuangkan perbicaraan adil

Umno ‘bisu’ ketika Najib perjuangkan perbicaraan adil.  Seorang pemimpin Umno mempersoalkan sikap pemimpin parti yang berdiam diri ketika bekas presiden parti dan bekas perdana menteri Najib Razak berdepan cabaran sukar dalam rayuan kes SRC International di Mahkamah Persekutuan.

“Seluruh Umno senyap. Tiada siapa yang mengatakan apa-apa tentang apa yang berlaku,” kata pemimpin itu, yang tidak mahu dinamakan.

Pemimpin Umno itu merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib Razak mengemukakan keterangan baharu dalam rayuan terakhirnya berhubung pekerjaan hakim Mohd Nazlan Ghazali dengan sebuah bank.

Najib berkata beliau “terkejut dan amat kecewa” dengan keputusan mahkamah tetapi, menurut pemimpin Umno itu, “tiada apa-apa” diperkatakan dalam kumpulan sembang parti.

“Saya rasa mereka tidak mahu terlibat. Ada yang berkongsi kepercayaannya bahawa dia tidak akan dapat perbicaraan yang adil, tetapi mereka tidak fikir apa yang mereka katakan atau buat akan mengubah keputusan,” kata pemimpin itu kepada FMT.

Sumber dalaman itu berkata hakikat bahawa tiada pemimpin Umno yang tampil menuntut Najib mendapat perbicaraan yang adil menetapkan duluan buruk kepada parti itu.

“Beliau (Najib) bersendirian dalam perjuangan ini dan yang lain (pemimpin parti) selesa tidak berbuat apa seperti yang mereka lakukan semasa era Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

“Apabila orang lain diam, beliau berani berdepan dengan mereka (PH dan PN). Bagi saya, akar umbi perlu memikirkan dengan teliti siapa yang mereka pilih untuk memimpin Umno. Budaya ‘setiap orang untuk dirinya sendiri’ ini adalah kanser kepada Umno.”

Namun, pemimpin itu berkata, beliau meragui keadaan itu akan membawa kepada perpecahan dalam parti kerana “Najib sendiri tidak akan membenarkannya”.

Sementara itu, seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang enggan dinamakan mengesahkan kumpulan WhatsApp parti itu membisu berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan.

“Saya rasa ramai yang mengambil pendekatan tunggu dan lihat.”

Seorang lagi Ahli MKT Umno, Puad Zarkashi bimbang Najib tidak mendapat perbicaraan adil.

“Saya tidak faham kenapa mahkamah tidak mahu membenarkan beliau mengemukakan keterangan baharu yang beliau rasakan penting untuk kesnya.

“Mahkamah patut membenarkan beliau mengemukakan keterangan baharu dan membuat keputusan mereka berdasarkan semua keterangan yang dikemukakan. Ini akan membantu mengelakkan persepsi bahawa sistem keadilan kita cacat,” katanya kepada FMT.

Semalam, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan Najib untuk mengemukakan keterangan tambahan dalam rayuan terakhirnya bagi membuktikan wujud konflik kepentingan serius di pihak Nazlan ketika menghakimi perbicaraan SRC International dua tahun lalu.

Katanya, permohonan untuk mengemukakan keterangan tambahan tidak memenuhi syarat undang-undang.

Pendengaran rayuan Najib bersambung Khamis ini.

Umno ‘bisu’ ketika Najib perjuangkan perbicaraan adil