Ujian dunia dengan kesenangan dan kekuasaan – Raja Kamarul

Ujian dunia dengan kesenangan dan kekuasaan – Raja Kamarul

UJIAN DUNIA DENGAN KESENANGAN DAN KEKUASAAN.

2 Disember 2020

1. Empat bulan kebelakangan ini, Negeri Terengganu Darul Iman tidak sunyi dari kontroversi kerana banyak isu melibatkan pentadbiran kerajaan negeri dan kewangan sering berlaku dan menjadi bualan rakyat.

2. Perkara ini berlaku tatkala kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menguasai Negeri Terengganu dan Putrajaya yang menggelarkan kerajaan hari ini sebagai ‘Kerajaan Melayu Islam’ yang sepatutnya mengamalkan nilai murni dalam pentadbiran dan akhlak Islam yang terbaik.

3. Hakikatnya, jolokan kerajaan ‘melayu Islam’ hanya indah khabar dari rupa, bahkan sebenarnya untuk mengelirukan rakyat Negeri Terengganu khususnya.

4. Berita tergempar terbaharu adalah perletakan jawatan Pegawai Eksekutif Utama (CEO) Syarikat TDM BERHAD, En. Zainal Abidin Shariff. TDM adalah syarikat yang tersenarai di Bursa Saham Malaysia yang dimiliki dan dikuasai oleh kerajaan Negeri Terengganu.

5. Pemegang saham terbesar TDM Berhad adalah Terengganu Incorporated yang dipengerusikan oleh Dato Seri Dr. Samsuri Mokhtar yang juga merupakan Menteri Besar Terengganu.

6. BERNAMA melaporkan CEO TDM En Zainal Abidin telah meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju dalam perkara melibatkan isu kontrak perdagangan, amalan pentadbiran syarikat dan isu melibatkan aktiviti perdagangan kelapa sawit.

7. Saya telah mempersoalkan beberapa isu termasuk melibatkan amalan yang tidak menepati peraturan iaitu TDM tidak mengemukakan penyata kewangan tahunan untuk tiga (3) tahun berturut turut dari 2018, 2019 dan 2020 dan ini melanggar akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

8. SSM diberitakan menyiasat perkara tersebut. Kenapa ini boleh berlaku dan adakah kompaun atau tindakan undang undang telah dikenakan ?

9. Raja Idris Raja Kamaruddin sebagai Pengerusi TDM dan Menteri Besar Terengganu sebagai pengerusi pemegang saham terbesar TDM sehingga sekarang enggan memberi penjelasan. Adakah terdapat sesuatu yang bermasalah dengan akaun TDM yang ingin disembunyikan dari pemegang saham dan rakyat Terengganu? Untuk rekod, nilai saham TDM Berhad adalah sekitar RM0.26 sen seunit.

10. Persoalan utama adalah kenapa CEO TDM En Zainal Abidin, dalam situasi peluang pekerjaan terhad hari ini, sanggup meletak jawatan secara mengejut selepas hanya setahun dilantik kalau tidak melibatkan masalah yang melibatkan kontroversi besar? Menteri Besar Terengganu dan Raja Idris bertanggungjawab memberi penjelasan isu ini.

11. Selain itu, turut timbul beberapa isu dalam kerajaan Negeri Terengganu, khususnya Pejabat Menteri Besar yang tidak sunyi dari kontroversi.

12. Isu terbaru melibatkan Muhammad Hanafi atau lebih dikenali sebagai Sheikh Hanafi yang merupakan Ketua Unit Penyelidik Pentadbiran di Pejabat Menteri Besar Terengganu yang dilaporkan telah disiasat oleh pegawai kanan SPRM dari Putrajaya berkenaan isu kontrak.

13. Beberapa bulan lalu Timbalan CEO Kajian Strategi dan Integriti Negeri Terengganu, Nurul Islam juga disiasat oleh SPRM berkenaan isu projek pasir yang dikaitkan dengan seorang ADUN di mana pengadu dari Kuala Lumpur telah dipanggil oleh SPRM Terengganu untuk diambil kenyataan pada 5 Oktober 2020.

14. Dalam masa yang sama, tular di media sosial video seorang pendakwah yang cenderung kepada PAS yang popular di Terengganu mengkritik dan mengecam tindakan kerajaan Terengganu serta barisan Exco.

15. Walaupun tauliah mengajar beliau telah disekat oleh kerajaan Terengganu, ianya tidak boleh menghalang rakyat mendapat maklumat tentang kepincangan pentadbiran kerajaan PAS Negeri Terengganu dari mulut beliau sendiri.

16. Dua minggu lepas pula seorang aktivis lama PAS telah membuat aduan sebahagian rumahnya dirobohkan oleh pihak berkuasa pada waktu beliau dalam proses mengubahsuai dengan memohon tempoh tambahan 10 hari namun tidak diendahkan.

17. Rayuan beliau kepada beberapa Exco Kerajaan Negeri untuk penangguhan tidak diberi perhatian. Beliau sangat kecewa dengan sikap kerajaan PAS hari ini terhadap penyokong termasuklah sikap kepada pendakwah popular yang cenderung kepada PAS.

18. Jelas kerajaan Negeri Terengganu yang ditadbir PAS telah hilang hala tuju perjuangan asal mereka untuk membela rakyat serta menjaga kebajikan penyokong mereka.

19. Dalam janji PAS yang hendak menjadi penasihat UMNO, UMNO pula sebenarnya yang telah mempengaruhi PAS dengan budaya kontrak, projek dan salah guna kuasa dalam kerajaan. Itulah hakikat sebenarnya.

20. Saya juga difahamkan dua orang pegawai di Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) telah meletakkan jawatan kerana tidak berpuas hati dengan cara pengurusan kerajaan negeri hari ini. Adakah ini benar?

21. Kenapa begitu ramai penyokong kuat, aktivis PAS dan pegawai profesional lantikan PAS kini begitu lantang mengkritik PAS sehingga ada yang meletakkan jawatan dari pentadbiran kerajaan negeri?

22. Sekiranya penyokong kuat yang telah banyak berkorban, pendakwah terkenal dan staf kerajaan PAS Terengganu telah mula menyatakan bantahan terhadap cara pimpinan PAS mentadbir negeri sehingga ada yang mula bergerak keluar, bukankah ini menunjukkan kredibiliti Kerajaan Negeri yang ditadbir PAS telah tercalar?

23. Ingatlah, betapa ramai manusia yang gagal apabila diuji oleh Allah dengan kesenangan dan kekuasaan.

RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH
Pengerusi
Parti AMANAH Negara Negeri Terengganu