Tunggang e-skuter di jalan raya satu kesalahan mulai 2021

Tunggang e-skuter di jalan raya satu kesalahan mulai 2021

KUALA LUMPUR – Tindakan penunggang skuter elektrik dua roda atau satu roda di jalan raya akan dikenakan tindakan mulai tahun depan.

Ini kerana mulai 1 Januari 2021, mana-mana penunggang skuter elektrik yang didapati bergerak di atas jalan raya akan dikenakan denda RM300 dan maksimum RM1,000 untuk kesalahan ulangan atau berdepan hukuman penjara tiga bulan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPTKL) Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, buat masa ini, pasukan trafik terlibat dalam tindakan bersifat advokasi kepada penunggang skuter elektrik.

Katanya, jumlah penggunaan skuter elektrik dalam kalangan remaja dan dewasa lelaki dan wanita meningkat secara drastik sejak diperkenalkan sebuah syarikat tempatan pada pertengahan tahun ini dan mencetuskan kebimbangann keselamatan awam.

“Sejak itu mereka dikesan menunggang di atas jalan raya lebih kerap dan pergerakan mereka dengan pengangkutan mini itu semakin meningkat di lokasi tumpuan utama di ibu negara iaitu Bukit Bintang, KLCC dan Dataran Merdeka.

“Kita sekarang turun ke lapangan bersama pasukan trafik dan berjumpa mereka dengan memberikan advokasi berbentuk nasihat supaya tidak bergerak dengn skuter itu di atas jalan raya.

“Nasihat advokasi untuk mereka diteruskan sehingga 31 Disember ini dan mulai 1 Januari tahun depan penunggang skuter elektrik yang didapati bergerak di atas jalan raya akan dikenakan denda RM300 dan maksimum RM1,000 untuk kesalahan kedua dan seterusnya atau penjara tiga bulan akan dikenakan di bawah APJ 1987,” katanya kepada pemberita di Bukit Bintang malam tadi.

Sebelum itu, Zulkefly dengan pasukan trafik turun ke lapangan bertemu dan menasihati penunggang skuter elektrik di sekitar kawasan berkenaan

Sementara itu, Tinjauan MalaysiaGazette mendapati kehadiran ramai pengguna skuter elektrik di kawasan Bukit Bintang membahayakan kerana terdedah kepada kemalangan.

Ketika itu jalan utama itu penuh dengan kenderaan yanag menunggu di lampu isyarat dan kemunculan sekumpulan penunggang skuter di celah kenderaan dan menyeberangi lampu isyarat ‘mengejutkan’ pengguna jalan raya yang lain.

Adegan mereka juga dirakam pasukan anggota trafik yang terlibat dalam pemantauan dan advokasi bermula 10.30 malam di lokasi tumpuan pelancong itu.

Skuter itu diperkenalkan pada 29 Mei 2020 mula menjadi trend masa kini serta mudah didapati kerana telah disediakan untuk kemudahan pengguna untuk bergerak dalam destinasi yang agak jauh bagi pejalan kaki ke pengangkutan awam.

Lokasi E-Skuter itu beroperasi sekitar kawasan KLCC, Bukit Bintang dan Dataran Merdeka yang menjadi tumpuan utama orang awam dan pelancong sehingga membawa rungutan dan kesulitan pemandu kenderaan besar.

Operasi khas Advokasi penunggang Skuter Elektrik di ketiga-tiga lokasi tumpuan utama pelancong itu diadakan dengan jumlah kekuatan lima pegawai kanan dan 20 orang pegawai rendah polis JSPT Kuala Lumpur dan seramai 65 orang terdiri daripada 30 lelaki dan 35 wanita diperiksa dan dinasihati penggunaan e-skuter dari sudut perundangan.

E-Skuter tergolong di bawah takrifan kenderaan mikromobiliti dan dibawah pindaan terbaharu APJ (Oktober) 2020) Seksyen 2 (b) takrifan bagi kenderaan mikromobiliti ertinya ‘mana-mana kenderaan yang dipacu sumber elektrik, enjin pembakaran dalam atau kuasa manusia atau gabungan sumber elektrik, enjin pembakaran dalam atau kuasa manusia dan mempunyai kelajuan maksimum 50 kilometer sejam.

Menurut Zulkefly, penggunaan skuter elektrik tanpa kawalan, pengawasan dan laluan yang ditetapkan boleh membahayakan diri dan juga pengguna jalan raya yang lain akibat kecuaian.

Katanya, tindakan drastik itu diambil segera kerana skuter elektrik sebenarnya dilarang digunakan atas jalan raya yang digazetkan sebalinya hanya boleh digunakan di atas jalan raya tidak digazetkan seperti taman perumahan atau padang permainan dan kaki lima sahaja.

“Jika masih mahu bersungguh hendak di bawa atas jalan perlu memohon kepada Jabatan Pengangkutan Jalan dan hanya ketua pengarahnya berkuasa untuk mempertimbangkan dan meluluskan berdasarkan situasi keselamatan awam.

“Ia jelas dimaklumkan dalam Kaedah 42(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN166/59) yang berkehendakkan melainkan ia telah dilengkapi dengan brek yang efektif yang mana ianya boleh beroperasi secara berasingan sekurang-kurangnya dua tayar dan loceng.

“Dalam apa jua cara yang lain selain dari bercelapak di atas pelana, semasa memegang apa apa benda dalam mana-mana belah tangannya melainkan sekurang-kurangnya satu tangan sentiasa memegang pemegang handle untuk memusing atau mengawal kenderaan,” ujarnya.

Justeru katanya, kesalahan yang sering dilakukan oleh penunggang e-skuter adalah menunggang kenderaan itu secara berdua, tidak menggunakan laluan basikal atau pun siar kaki lima yang disediakan dan menunggang secara berbahaya di tengah jalan utama dan berkumpulan sehingga mengganggu kenderaan lain yang boleh mengundang bahaya khususnya pada waktu malam.

“Nasihat polis kepada penunggang skuter elektrik jangan menunggang atas jalan raya tidak digazetkan dan tindakan undang-undang lebih tegas akan menyusul jika dikesan bergerak atas jalan raya, tempoh advokasi untuk anda hanya 19 hari lagi.

“Bersyukur setakat ini tiada sebarang insiden atau kemalangan jalan raya membabitkan penunggang skuter elektrik ini tetapi sebagai langkah pencegahan awal ibarat sediakan payung sebelum hujan,” katanya.

Seunit E-skuter satu roda dijual di pasaran termasuk dalam e-dagang bermula dari RM1,100 sehingga mencecah RM15,000 seunit.

Berita penuh : https://malaysiagazette.com/2020/12/12/tunggang-e-skuter-di-jalan-raya-satu-kesalahan-mulai-2021/?fbclid=IwAR18rMrzOPkRf32XuAcUdMMVnMetatFga-neOUnqG_HLOMGggTz4q8Baf_s