Tukang masak maut dengan 10 kesan tikaman

Tukang masak maut dengan 10 kesan tikaman

GEORGETOWN: Seorang pengawal keselamatan bertindak menikam seorang kenalannya hingga mati selepas berang dengan mangsa yang sering mengugut dan mengganggunya malam tadi.

Kejadian berlaku di hadapan sebuah pondok pengawal pangsapuri di Paya Terubong di sini kira-kira pukul 8.50 malam tadi apabila mangsa dikatakan datang berjumpa dengan suspek.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, siasatan mendapati suspek lelaki berusia 65 tahun bertindak menikam mangsa yang bekerja sebagai tukang masak dengan sebilah pisau.

“Mangsa, lelaki berusia 42 tahun disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Pulau Pinang manakala suspek berjaya ditangkap pukul 10.30 malam tadi di kediamannya di pangsapuri berkenaan.

“Turut dirampas adalah sebilah pisau yang dipercayai digunakan suspek untuk menikam mangsa,” katanya di sini hari ini.

Beliau memberitahu, siasatan mendapati suspek yang belum berkahwin itu juga mempunyai dua rekod jenayah lampau.

“Soal siasat ke atas suspek mengatakan yang dia tidak tahan dengan mangsa yang selalu mengganggu dan mengugutnya,” jelasnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan permohonan reman ke atas suspek dijalankan di Bilik Reman Mahkamah pada pukul 9.30 pagi tadi.

Sumber : https://www.utusan.com.my/berita/2020/12/tukang-masak-maut-dengan-10-kesan-tikaman/