Tukang kebun didakwa cabul, rogol anak tiri

Tukang kebun didakwa cabul, rogol anak tiri

Seorang tukang kebun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan mencabul dan merogol anak tirinya di rumah mereka di Tanah Merah sejak tiga tahun lalu.

Lelaki berusia 58 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd. Hamdy.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mencabul anak tirinya yang ketika itu berusia 12 tahun tujuh bulan.

Kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh di sebuah rumah di Tanah Merah kira-kira pukul 11 malam pada bulan Disember 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua hingga kelima, tertuduh didakwa merogol anak tirinya yang merupakan mangsa sama dengan perhubungan tertuduh tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin dengannya.

Kesalahan itu berlaku di lokasi sama pada bulan Januari hingga April 2019, Februari 2020, awal April dan 12 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lapan hingga 30 tahun dan 10 kali sebatan jika sabit kesalahan.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan jaminan selain menetapkan tarikh 18 Julai depan sebagai tarikh serahan dokumen dan sebutan semula kes.-K! ONLINE

COMMENTS