Tuanku Muhriz beritahu pemimpin, henti guna isu kaum, agama hasut rakyat

Tuanku Muhriz beritahu pemimpin, henti guna isu kaum, agama hasut rakyat

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menggesa ahli politik berhenti menggunakan isu agama untuk menghasut rakyat Malaysia satu sama lain.

Ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Raja-raja ke 260 di Istana Negara, baginda menyeru kerajaan baharu memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia berbilang bangsa, agama dan budaya.

“Beta berharap tiada lagi pemimpin yang membangkitkan isu perkauman atau agama dengan tujuan untuk menghasut masyarakat.

“Beta turut menggesa kerajaan baharu menggunakan peluang yang ada sebaik-baiknya untuk memacu negara ke tahap lebih tinggi,” katanya ketika berucap dalam mesyuarat itu yang turut dihadiri Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Tuanku Muhriz mengucapkan tahniah kepada Anwar dan menteri besar Pahang, Perak serta Perlis atas pelantikan mereka susulan pilihan raya umum ke-15.

Baginda berharap mereka akan menggalas tanggungjawab berat itu berasaskan prinsip yang digariskan dalam Rukun Negara.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, polis mengesan pelbagai bentuk kandungan menyentuh sensitiviti kaum dan agama di media sosial susulan PRU15 pada 19 Nov lalu.

Beliau mengingatkan pengguna media sosial tidak menyalahgunakan platform sedemikian untuk menyebarkan kandungan menghasut yang boleh menimbulkan keresahan orang ramai.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang cuba mengancam keselamatan atau mengganggu ketenteraman awam, termasuk menggunakan Akta Hasutan.

Walaupun Acryl Sani tidak merujuk mana-mana catatan secara khusus, Malaysiakini melaporkan beberapa hantaran di TikTok yang memberi amaran rusuhan kaum 13 Mei mungkin berulang.

Tuanku Muhriz beritahu pemimpin, henti guna isu kaum, agama hasut rakyat