Trauma berdepan ular sawa besar saat harung banjir

Sampai sekarang masih trauma nak mengharungi banjir kerana ular sawa itu, malah saya juga tidak membenarkan ahli keluarga berbuat demikian,” kata Mohd Ali Mamat.
Mohd Ali, 38, Kampung Sarang Lang, Kemasik, di sini, tular di media sosial sejak Jumaat lalu selepas berkongsi gambar dan videonya membunuh ular sawa sepanjang tujuh meter yang cuba menyerangnya ketika mengharungi banjir untuk masuk ke rumah.
Katanya, dia pertama kali melihat ular sawa sebesar dan sepanjang itu seumur hidupnya.
“Kejadian berlaku selepas saya dan keluarga berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kemasik susulan rumah kami ditenggelami air pada paras 1.5 meter.
“Saya kemudian pulang semula ke rumah bersama anak, Mohammad Afiq Mohd Ali, 12, untuk mengambil pakaian untuk dipakai sepanjang berada di PPS.
“Bagaimanapun sebaik sampai di rumah, saya ternampak kelibat ular sawa dalam air di hadapan pagar rumah sebelum menghalaunya,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Katanya, dia menunggu ular sawa itu beredar selama lebih 15 minit, tetapi reptilia itu kekal berada di situ seakan sedang menunggu mangsa.
Ular itu mampu memberi ancaman kepada keluarga jika dibiarkan lalu saya nekad masuk ke rumah melalui laluan lain untuk mengambil apa sahaja peralatan bagi menghalau ular itu.
“Berbekalkan lampu suluh dan parang, saya ke tempat itu semula untuk menghalau ular berkenaan, tetapi berasa terkejut malah ketakutan sebaik melihat saiz ular yang sangat besar.
“Ular sawa itu juga terkejut dengan kehadiran saya dan cuba menerkam, tetapi saya cepat bertindak dengan melibas kepalanya dengan parang sebanyak tiga kali sebelum ia mati,” katanya.
Katanya, dia tiada niat mahu membunuh ular sawa itu tetapi keadaan memaksanya berbuat demikian.
“Mungkin ia ular yang sama membaham angsa dan ayam yang diternak penduduk kampung sebelum ini.
“Saya bernasib baik kerana menyedari kehadiran ular sawa itu di kawasan rumah, jika tidak pasti kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.
Berita penuh : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/655146/trauma-berdepan-ular-sawa-besar-saat-harung-banjir