Tragedi menjelang Aidilfitri: Ibu, bayi 2 bulan maut kereta terbabas

Tragedi menjelang Aidilfitri: Ibu, bayi 2 bulan maut kereta terbabas.
Seorang wanita bersama bayinya berusia dua bulan maut selepas kereta yang dinaiki dipercayai hilang kawalan dan terbabas di Persiaran Timur dari arah Kajang menghala Pinggiran Putra, dekat Putrajaya, hari ini.
Ketua Polis Daerah Putrajaya A Asmadi Abdul Aziz dalam berkata, suami wanita terbabit, Mohd Iqbal Kamaruddin, 34, yang memandu kereta Perodua Myvi dari Shaftbury Putrajaya, Presint 1, hilang kawalan lalu melanggar penghadang air (water barrier) di bahu kiri jalan dan terbabas.
Memetik laporan Bernama, dalam kejadian 2.45 petang itu, suri rumah Amalina Azman, 32, meninggal dunia di Hospital Putrajaya manakala bayinya, Dzul Qarnain berusia dua bulan meninggal dunia di tempat kejadian. Bagaimanapun Mohd Iqbal tidak mengalami sebarang kecederaan.
A Asmadi berkata, ketika kemalangan, lokasi jalan raya mempunyai tiga lorong dan tiga hala manakala jalan dipisahkan dengan garisan putih dengan keadaan cuaca baik serta jalan cerah.
Katanya, siasatan awal mendapati suami mangsa dipercayai mengantuk ketika memandu, lalu hilang kawalan dan terbabas sendiri.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.