Tony Fernandes menjual hartanahnya di Scotland bagi menyelamatkan empayar perniagaannya

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes dilaporkan menjual hartanahnya di Ayrshire, Scotland yang bernilai 2.5 juta pound atau kira-kira RM13.55 juta.

Menurut Berita Harian Online yang memetik Agensi, Fernandes, 56, yang juga adalah bekas pengerusi pasukan bolasepak, Queens Park Rangers, sebelum ini, tinggal di Skeldon House di Dalrymple, Ayrshire selama tujuh tahun.

Dia dilaporkan terpaksa mengorbankan rumah agam di kawasan seluas 125 ekar itu bagi menyelamatkan empayar perniagaannya yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Hartanah lima bilik itu dilengkapi bilik simpanan wain, gimnasium, sauna dan gelanggang tenis.

Sebelum ini, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menjangkakan industri penerbangan penumpang bakal kehilangan pendapatan AS$252 bilion (RM1.1 trilion) atau empat peratus di bawah angka yang dicatatkan tahun lalu.

Menurut IATA, pengurangan pendapatan itu disebabkan sekatan perjalanan yang semakin memburuk dan jangkaan kemelesetan global.

IATA mengkaji semula analisis kesan pendapatan ekoran Covid-19 ke atas industri pengangkutan udara global.

Fernandes pada April lalu mendedahkan 96 peratus daripada armada pesawatnya tidak dapat beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan Covid-19.

Katanya, keadaan itu menyaksikan syarikat penerbangan tambang rendah berkenaan tidak meraih pendapatan tetapi masih memiliki komitmen kewangan seperti membayar pembekal bahan api dan pajakan.

Justeru, pekerja Air Asia dilaporkan menerima pengurangan gaji antara 15 hingga 75 peratus bergantung kepada tempoh perkhidmatan.

sumber berita : https://sabahfocus.com/tony-fernandes-menjual-hartanahnya-di-scotland-bagi-menyelamatkan-empayar-perniagaannya/