Tong gas meletup, warga emas nyaris maut

Tong gas meletup, warga emas nyaris maut

BATU PAHAT – Seorang wanita warga emas nyaris maut selepas dapur gas yang dihidupkannya tiba-tiba meletup di rumahnya di Jalan Zamrud, Taman Soga, di sini semalam.

Dalam kejadian pada jam 6.25 petang, wanita berusia 71 tahun itu melecur di kedua-dua belah kaki.

Difahamkan, mangsa baru menukar hos gas yang dibelinya namun apabila menghidupkan dapur gas itu tiba-tiba tercetus letupan.

Seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Pahat dikejarkan ke tempat kejadian bersama-sama sebuah Light Fire Rescue Team (LFRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Komander Operasinya, Pegawai Bomba Kanan II Ridwan Gembur berkata, setibanya di lokasi pemeriksaan mendapati berlaku letupan akibat daripada kebocoran tong gas petroleum cecair (LPG).

“Kebocoran berlaku pada sambungan hos dari tong gas. Tindakan operasi memberi rawatan awal kepada mangsa kerana dia enggan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Selepas itu pihak bomba bertindak membuat pemeriksaan menyeluruh di bahagian dapur itu untuk memastikan tiada kebocoran lain berlaku,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan dan operasi tamat pada jam 7.21 malam.

Berita penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/112739/EDISI/Johor/Tong-gas-meletup-warga-emas-nyaris-maut