Tolak kiraan semula, Ku Li cabar keputusan SPR

Tolak kiraan semula, Ku Li cabar keputusan SPR

Tolak kiraan semula, Ku Li cabar keputusan SPR. Tokoh Umno Tengku Razaleigh Hamzah akan mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang didakwa menafikannya kiraan semula di Parlimen Gua Musang, selepas beliau tumpas dengan majoriti 163 undi.

Berdasarkan peraturan SPR, calon yang kalah berhak mendapat pengiraan semula sekiranya margin kemenangan calon utama kurang daripada 4%.

Kenyataan dari pejabat Tengku Razaleigh, berkata pegawai pengurus di Gua Musang telah menolak permintaan wakil Tengku Razaleigh.

Ahli politik veteran itu, yang dikenali sebagai Ku Li, tewas dengan 163 undi kepada Azizi Abu Naim dari PAS, yang memperoleh 21,826 undi.

Razaleigh, 85, yang bertanding untuk penggal ke-13 memperoleh 21,663 undi dalam saingan empat penjuru.

Beliau menjadi Ahli Parlimen Gua Musang sejak 1974 apabila kawasan itu dinamakan Ulu Kelantan. Pada 2018, beliau menang dengan majoriti 3,913 undi menentang dua yang lain daripada PAS dan PKR.

Tahun lalu, beliau memberitahu FMT bahawa akan berundur daripada politik selepas PRU15.

Sementara itu, Berita Harian melaporkan, SPR menolak permohonan Ku Li dengan alasan pengiraan semula tidak boleh dibuat di pusat penjumlahan rasmi undi.

Pengarah SPR Kelantan, Fakhrul Razi Ab Wahab berkata, pengiraan semula hanya boleh dibuat di saluran sekiranya majoriti diperoleh pemenang kurang daripada 4%.

“Sekiranya tidak berpuas hati, calon kena buat petisyen pilihan raya berdasarkan asas tertentu,” katanya.

Tolak kiraan semula, Ku Li cabar keputusan SPR