Tiket bas balik ke Kelantan laris

Kota Bharu: Tiket bas ekspres untuk perjalanan pulang ke Kelantan laris sejak beberapa hari lalu susulan kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri tanpa memerlukan kebenaran polis mulai 7 Disember lalu.
Hampir semua bas membabitkan perjalanan dari semua negeri untuk pulang ke Kelantan penuh setiap hari.
Ia berikutan orang ramai mula mengambil kesempatan untuk bertemu ahli keluarga masing-masing susulan hampir beberapa bulan rentas negeri tidak dibenarkan.
Situasi itu menyaksikan pengusaha bas kembali bernyawa berbanding sebelum ini apabila sebahagian besar daripada mereka terpaksa menghentikan operasi untuk sementara waktu kerana tidak mampu menampung kos operasi.
Ejen penjualan tiket bas, Izani Zakaria, 38, bersyukur selepas sekian lama akhirnya bas dibenarkan beroperasi seperti biasa.
Beliau yang menjual tiket membabitkan 14 syarikat bas berkata, jualan tiket bas laris sebaik mulai 7 Disember sebaik sahaja pengumuman kebenaran rentas negeri diumumkan.
“Alhamdulillah penjualan tiket agak membanggakan selepas sekian lama dan setiap hari bas masuk ke Kelantan penuh di semua negeri.
“Kami menjangkakan keadaan ini akan berlarutan sehingga Januari kerana orang mahu pulang bertemu keluarga sebelum sesi persekolahan dibuka.
“Jika sebelum ini hanya tiga bas sahaja beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), mulai semalam hampir semua syarikat bas kembali beroperasi,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad, Che Ibrahim Che Ismail turut mengakui berlaku peningkatan penjualan tiket, namun belum di tahap luar biasa.
“Walaupun bas sudah boleh bergerak ke semua lokasi, sebahagian pemandu masih diberi cuti tanpa gaji memandangkan kita tidak tahu tempoh operasi dibenarkan ini sehingga bila.
“Kita bimbang sekiranya mereka dipanggil bekerja, tidak lama kemudian dikenakan PKPB semua dan rentas negeri tidak dibenarkan.
“Justeru, kita akan memantau keadaan ini sehingga akhir Januari ini sebelum tindakan susulan diambil,” katanya.
Sumber :