‘Tikam belakang’: Mahkamah tolak rayuan KJ terhadap saman Anwar

‘Tikam belakang’: Mahkamah tolak rayuan KJ terhadap saman Anwar

‘Tikam belakang’: Mahkamah tolak rayuan KJ terhadap saman Anwar. Bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin gagal mengetepikan saman fitnah yang difailkan Anwar Ibrahim berhubung kenyataan “main belakang” yang dibuatnya pada satu perhimpunan politik 14 tahun lepas.

‘Tikam belakang’: Mahkamah tolak rayuan KJ terhadap saman Anwar

Ini berikutan keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuannya terhadap liabiliti dan ganti rugi RM150,000 yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi pada 2017 kepada Anwar yang kini merupakan Ketua Pembangkang.

Hakim Darryl Goon Siew Chye berkata, hujah yang dikemukakan oleh Khairy untuk menangkis saman itu gagal.

Beliau berkata, pembelaan justifikasi tidak dibuat, sama ada secara keseluruhan atau sebahagiannya.

“Kami juga berpendapat hakim perbicaraan tidak tersilap membuat kesimpulan bahawa pembelaan defendan (Khairy) berkenaan perlindungan bersyarat juga tidak dibuat,” kata Goon, yang bersidang bersama Lee Swee Seng dan Ghazali Cha.

“Tiada justifikasi untuk campur tangan Mahkamah Rayuan dan rayuan itu ditolak. Keputusan Mahkamah Tinggi disahkan.”

Anwar, yang diwakili oleh Gopal Sri Ram dan J Leela, juga diberikan RM50,000 sebagai kos.

Hakim juga menolak rayuan Khairy untuk memasukkan pembelaan komen adil untuk mencabar saman itu.

“Ia dibuat terlalu lewat pada hari selepas perbicaraan selesai untuk pindaan sedemikian,” katanya ketika memberikan kos RM10,000 lagi kepada Anwar.

Goon berkata, hakim perbicaraan sudah mengambil kenyataan yang disangkal dalam konteks yang betul, termasuk mengambil kira analogi dan kiasan yang digunakan untuk membuat kesimpulan bahawa ia adalah fitnah.

Beliau berkata, inferens itu bukan pada perkataan yang sebenarnya digunakan tetapi maksud yang akan disimpulkan oleh orang biasa.

“Inferens yang boleh dibuat mesti dianggap sebagai makna semula jadi dan biasa bagi perkataan yang digunakan,” tambahnya.

Khairy, yang kini Menteri Kesihatan, membuat kenyataan itu semasa berceramah di Lembah Pantai ketika berkempen dalam pilihan raya umum pada 2008.

Goon juga berkata, kenyataan dalam penghakiman majoriti oleh hakim Mahkamah Persekutuan ketika itu, iaitu Abdul Hamid Mohamad pada 2004 dalam membebaskan Anwar daripada tuduhan liwat adalah tidak relevan dan tidak boleh diterima dalam kes fitnah ini.

“Ia hanya satu pemerhatian oleh Hamid dan tidak mempunyai nilai bukti,” tambahnya.

Peguam Anwar berhujah bahawa Seksyen 43 Akta Keterangan menghalang Khairy daripada mengimport perkara yang dikatakan dalam prosiding jenayah ke dalam kes sivilnya sekarang.

Hamid menyatakan mahkamah “menemui bukti untuk mengesahkan bahawa perayu (Anwar dan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja) terlibat dalam aktiviti homoseksual dan kami lebih cenderung untuk mempercayai kejadian yang didakwa terjadi di Tivoli Villas benar-benar berlaku”.

Pada September 2004, Hamid dan Allahyarham Tengku Baharuddin Shah Tengku Mahmud dalam penghakiman majoriti membenarkan rayuan Anwar sementara hakim Rahmat Hussain memberikan penghakiman bertentangan.

Panel turut membenarkan rayuan adik angkat Anwar, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja yang dipenjarakan enam tahun atas kesalahan sama.

Pada 17 Jan, Sri Ram berhujah bahawa Khairy memfitnah Anwar di hadapan khalayak orang Melayu dengan menggambarkan beliau sebagai seorang homoseksual dan seorang yang rendah akhlaknya.

“Khairy berucap kepada kumpulan yang memahami konteks rujukan terhadap Anwar itu,” katanya.

Dalam pernyataan tuntutannya Anwar berkata, Khairy menyatakan bahawa pakatan pembangkang ketika itu yang merangkumi PAS, DAP dan PKR melakukan perkahwinan muta’ah seperti diamalkan oleh mazhab Syiah untuk menghalalkan maksiat.

Beliau berkata, Khairy turut berucap kepada perhimpunan orang Muslim bermazhab Shafie manakala rujukan dibuat kepada golongan Syiah yang ajarannya dianggap menyeleweng di negara ini.

Peguam Shafee Abdullah, yang mewakili Khairy berkata, beliau diarahkan untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Baca juga :