Tiga lelaki menyamar polis lakukan pemerasan, rompakan diberkas

Tiga lelaki menyamar polis lakukan pemerasan, rompakan diberkas

Tiga lelaki yang menyamar anggota polis untuk melakukan pemerasan dan rompakan ditahan di sebuah rumah di Bandar Putra Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang, petang semalam.

Semua suspek berusia 28 hingga 34 tahun itu ditahan pada 5.30 petang selepas polis menerima laporan kejadian rompakan pada 6.20 pagi kelmarin di kawasan perumahan sama suspek ditahan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Noorzainy Mohd Noor, berkata polis menerima laporan berlaku rompakan ketika seorang mangsa lelaki sedang mengambil rakannya di hadapan sebuah rumah dua tingkat di kawasan berkenaan.

“Dalam kejadian itu, seorang lelaki mahu mengambil rakannya di hadapan sebuah rumah di Bertam yang didiami oleh enam individu iaitu dua lelaki dan empat wanita yang semuanya bersaudara sebelum tiga suspek menaiki sebuah kereta jenis Perodua Bezza berwarna biru datang memperkenalkan diri sebagai polis.

“Suspek menyuruh mereka masuk ke dalam rumah dan mengarahkan penghuni lain masuk ke dalam satu bilik di tingkat atas sebelum mereka merompak semua telefon bimbit mangsa serta barangan berharga dan melarikan diri,” katanya menurut laporan Bernama.

Susulan itu, polis merampas plastik tertera logo dan tulisan PDRM, sejumlah telefon bimbit serta kereta Perodua Bezza dan siasatan mendapati mereka yang positif dadah dipercayai terbabit dalam kegiatan itu sejak beberapa bulan lalu.

Noorzainy berkata, siasatan turut mendapati suspek berusia 34 tahun memiliki 15 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala dua suspek berusia 28 tahun miliki enam dan empat rekod serta semua mereka kini direman lima hari untuk membantu siasatan.

“Orang ramai yang pernah menjadi mangsa geng itu diminta tampil membuat laporan kerana siasatan kami mendapati mereka sering memperdaya mangsa kononnya untuk membuat tangkapan khalwat dengan menyasarkan rumah yang didiami individu bujang,” katanya. | FMT

COMMENTS