Tidak perlu taksub sehingga terjebak perbuatan syirik

Tidak perlu taksub sehingga terjebak perbuatan syirik

KUALA LUMPUR: Masyarakat disaran tidak terlalu taksub dengan cerita gangguan misteri ketukan pintu yang didakwa berlaku di beberapa kawasan sejak pertengahan bulan lalu kerana dikhuatiri terjebak dengan perbuatan syirik.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, kejadian misteri yang dihebohkan menerusi media sosial secara berterusan itu boleh menimbulkan ketakutan dan kegelisahan melampau dalam kalangan penduduk.

“Sekiranya benar kejadian ini mempunyai kaitan dengan makhluk halus, kita tidak perlu takut kerana itu memberi kelebihan kepada unsur mistik tersebut.

“Kita perlu sentiasa berhati-hati dalam kepercayaan kerana kerana bimbang boleh mendatangkan syirik atau pelanggaran akidah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas gangguan misteri ketukan pintu dan gegaran jeriji besi yang melanda Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor sejak pertengahan bulan lalu.

Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman menjelaskan, sekiranya benar terdapat gangguan, masyarakat tidak digalakkan memasukkan elemen mistik dan khurafat seperti mendapatkan khidmat bomoh dan sebagainya.

“Cukup dengan memperbanyak bacaan ayat suci al-Quran, solat serta berdoa supaya dihindari daripada gangguan jin dan makhluk halus.

“Tidak ada sebab untuk kita berasa takut dan perkara ini juga tidak perlu diperbesarkan. Kita hanya perlu sentiasa meningkatkan amalan dan pengetahuan agama kerana gangguan sering terjadi kepada seseorang yang berjiwa lemah,” ujarnya.

Berita penuh : https://www.utusan.com.my/nasional/2020/12/tidak-perlu-taksub-sehingga-terjebak-perbuatan-syirik/