Tiada tindakan lanjut dakwaan rasuah pembelian helikopter, kata menteri

Tiada tindakan lanjut dakwaan rasuah pembelian helikopter, kata menteri

Tiada tindakan lanjut diambil terhadap dakwaan rasuah berhubung pembelian dan penangguhan penghantaran enam helikopter tempur ringan MD530G bernilai lebih RM300 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah selesai menjalankan siasatan mereka berhubung perkara itu.

“Berdasarkan kepada kertas siasatan, Jabatan Peguam Negara memutuskan tiada pendakwaan atas kesalahan rasuah yang dilakukan oleh mana-mana individu bagi isu ini,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson).

Pada Jun 2019, Kementerian Pertahanan membuat satu laporan kepada SPRM berhubung pembelian enam helikopter itu pada 2015, yang belum diterimanya ketika itu.

Bernama melaporkan helikopter tempur ringan McDonnell Douglas MD530G sepatutnya dihantar dalam dua fasa, dengan dua daripada pada Julai 2017 dan selebihnya pada Disember 2018.

Helikopter itu akhirnya dihantar pada Februari tahun ini.

Anwar turut bertanyakan Wan Junaidi mengenai perkembangan siasatan SPRM terhadap kontrak perolehan enam kapal tempur pesisir (LCS) yang akan dibina Boustead Naval Shipyard.

Semalam, The Star memetik Timbalan Menteri Pertahanan, Ikmal Hisham Abdul Aziz sebagai berkata, SPM telah melengkapkan siasatannya berhubung perkara itu dengan syor dibuat kepada Jabatan Peguam Negara.

Tambahnya, kini terserah kepada peguam negara untuk memutuskan tindakan lanjut.

Bagaimanapun, Wan Junaidi dalam jawapan bertulisnya berkata, siasatan SPRM ke atas kapal LCS masih diteruskan.

“SPRM telah memanggil saksi-saksi daripada pelbagai pihak, termasuk Kementerian Pertahanan,” katanya dalam jawapan bertulis yang dimuat naik ke laman sesawang Parlimen semalam.

Ketika dihubungi, Wan Junaidi memberitahu FMT, beliau tidak tahu mengenai hal operasi SPRM.

“SPRM sudah menyerahkan kertas siasatan kepada peguam negara untuk diputuskan. Peguam negara mempunyai kuasa tunggal dan Perlembagaan untuk memutuskan kes itu.

“Tambahan, jika timbalan pendakwa raya menganggap kertas siasatan itu tidak lengkap, mereka berhak mengarahkan SPRM untuk menjalankan siasatan lanjut. Saya tidak tahu semua proses ini untuk mengulas.”

FMT telah menghubungi Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki untuk mendapatkan penjelasan.