Tiada lagi VIP yang kebal di sisi undang-undang

Tiada lagi VIP yang kebal di sisi undang-undang

Tiada lagi VIP yang kebal di sisi undang-undang.  Hukuman undang-undang yang dijatuhkan terhadap bekas pemimpin negara, Datuk Seri Najib Razak atas perbuatan menyeleweng dana SRC International adalah permulaan kepada perjalanan jauh untuk membersihkan nama negara dari rasuah.

Mengambil kira tugas mencabar yang digalas pihak kehakiman sepanjang mengendali kes berprofil tinggi itu, rakyat tidak boleh mensia-siakan usaha kepada permulaan bersejarah ini.

Pengerusi AMANAH Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah menitipkan coretan agar kes penghukuman Najib Razak tidak hanya dijadikan sebagai contoh tunggal semata-mata tanpa meneruskan usaha membersihkan negara dari segala rasuah dan penyelewengan.

“Kita telah bermula di peringkat tertinggi yang paling sukar dan ianya perlu diteruskan di setiap lapisan.

“Rakyat pada tahun 2018 pernah menjatuhkan kerajaan korup yang memerintah selama 60 tahun, dan kini pula seorang bekas ketua kerajaan telah dihukum oleh Ketua Hakim dan sistem kehakimam kita .

“Tiada siapa yang kebal di mata tuhan dan di sisi undang-undang dunia ini.

“Tiada apa yang mustahil jika kita benar-benar cintakan negara kita dan berusaha ke arah membersihkan negara Malaysia supaya dikembalikan integriti dan jadikan Malaysia negara yang bermaruah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Raja Kamarul melihat, Malaysia sudah terlalu lama terkenal sebagai negara banyak penjenayah dalam kalangan golongan VIP yang berkuasa tanpa dihukum.

Justeru katanya, keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan bersalah kepada bekas perdana menteri itu membuka satu era baru dalam sejarah Malaysia di mana tiada pihak dikecualikan dari tindakan undang-undang walau betapa berpengaruh dirinya.

“Satu keazaman politik mesti hadir untuk meneruskan usaha mulia ini. Bina semula Malaysia dari keruntuhan integriti yang telah memusnahkan imej negara begitu lama.

“Jika tidak, keputusan bersejarah memenjarakan seorang bekas perdana menteri negara menjadi sia-sia sahaja,” ujarnya lagi.