Tiada kerajaan waras mahu pilihan raya musim banjir

Tiada kerajaan waras mahu pilihan raya musim banjir

Kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kononnya Pakatan Harapan (PH) tidak mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dilaksanakan pada musim banjir kerana takut kekalahan tidak masuk akal.

Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, ini kerana tidak ada kerajaan yang waras di mana-mana negara seluruh dunia akan mengadakan pilihan raya pada musim banjir kerana mengutamakan keselamatan rakyatnya.

Tiada kerajaan waras mahu pilihan raya musim banjir

Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad

“Apa yang Zahid ingin peroleh sebenarnya adalah kelebihan secara tidak adil dan salah guna kuasa menggunakan segala kemudahan jentera kerajaan seperti helikopter, bot dan lori untuk memudahkan mengangkut pengundi mereka pada hari mengundi nanti.

“Pada masa sama, pengundi parti-parti pembangkang akan terkandas dan tidak keluar mengundi.

“Apakah keutamaan yang akan diberi dalam penggunaan bot ketika itu nanti? Apakah bot akan digunakan untuk menyelamat mangsa atau bot itu akan digunakan untuk membawa rakyat ke pusat-pusat pengundian?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang dilaporkan berkata, parti itu sanggup meredah banjir dan hujan lebat jika PRU15 diadakan tahun ini.

Raja Kamarul Bahrin turut menyelar tindakan kerajaan yang dilihat lambat bertindak ketika banjir besar berlaku di Shah Alam dan Klang di Selangor pada tahun lalu.

Jelasnya, gerak kerja yang tidak teratur dengan pemimpin yang dilihat lambat turun padang meninjau rakyat yang kesusahan menyebabkan rakyat mengadu kepada pemimpin parti pembangkang.

“Dalam situasi banjir biasa di kawasan bandar pun ia gagal ditangani dengan baik, apatah lagi jika hendak buat PRU15 di kawasan terjejas banjir yang terletak jauh di pedalaman.

“Mengapakah nyawa rakyat harus diperjudikan dengan begitu murah, kerana kita mengetahui musim banjir besar biasanya berlaku akhir tahun terutama di Kelantan dan Terengganu sedangkan tempoh pilihanraya masih panjang untuk diadakan pada tahun depan.

“Jelas tindakan ini akan memperjudikan nyawa rakyat untuk memenuhi cita-cita nafsu rakus untuk kerajaan terus kekal berkuasa apa sahaja akibatnya tanpa memikirkan kebajikan dan keselamatan nyawa rakyat yang sepatutnya dilindungi,” katanya.