Tetamu kenduri di Ketereh pada 15 Nov diminta buat ujian Covid-19

Orang ramai yang menghadiri satu majlis kenduri di Kampung Chengal, Ketereh, Kelantan pada 15 Nov lalu diminta hadir ke klinik kesihatan terdekat bagi menjalani saringan Covid-19.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan, Dr Zaini Hussin, berkata ia susulan seorang tetamu yang hadir ke majlis berkenaan disahkan positif Covid-19.

“Kita dapati seorang individu yang hadir ke majlis kenduri itu disahkan positif Covid-19 selepas saringan dibuat.

“Individu berkenaan dikesan menerusi saringan bergejala dan kita masih dalam siasatan lanjut sama ada terdapat kaitan dengan mana-mana kluster.

“Sehubungan itu kita meminta tetamu yang hadir pada majlis berkenaan tampil membuat saringan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, tular satu pesanan di media sosial yang meminta tetamu yang hadir ke majlis kenduri berkenaan supaya melakukan ujian saringan Covid-19.

“Mohon kerjasama untuk hadirkan diri anda ke klinik kesihatan atau hopsital terdekat untuk saringan kesihatan Covid-19. Untuk maklumat lanjut boleh hubungi talian CPRC Kota Bharu 09-7414824 atau 09-7414800,” kata pesanan tersebut.

Kelantan dikenakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) sejak semalam.

Setakat semalam, sebanyak tujuh kes baru dicatatkan di negeri itu dengan kebanyakannya berpunca daripada kluster Mengketil, manakala sebanyak 80 kes aktif kini direkodkan.

 

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/552038