TERKINI | Bekas ratu pecut negara meninggal dunia

TERKINI | Bekas ratu pecut negara meninggal dunia

Bekas ratu pecut negara dan tokoh pemimpin olahraga disegani, Rajemah Sheikh Ahmad menghembuskan nafas terakhir pukul 1.30 tengah hari di kediamannya di Taman Permint Jaya, Kuala Terengganu semalam.

Allahyarhamah yang juga bekas Naib Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) meninggal dunia di usia 77 tahun selepas menderita kanser pankreas tahap empat.

Anak Allahyarhamah, Kama Rezuan Kamaruddin, 49, berkata, jenazah akan disemadikan hari ini di Tanah Perkuburan Syeikh Ibrahim, Kuala Terengganu.

Sementara itu, rakan rapat Allahyarhamah, Datuk Mumtaz Jaafar, yang juga Timbalan Presiden KOM, menyifatkan pemergian arwah sebagai kehilangan besar buat dunia olahraga negara.

“Arwah ibarat kakak kepada saya, banyak saya belajar bidang pengurusan daripadanya, sukar mencari pengganti yang mempunyai minat mendalam dalam dunia olahraga sepertinya.

“Malah, arwah ketika dimasukkan ke hospital sebulan lepas masih bersemangat menghadiri mesyuarat KOM yang diadakan secara maya,” katanya.

Mumtaz yang juga bekas ratu pecut negara sewaktu era 80-an berkata, arwah seorang yang sangat aktif dalam sukan olahraga sehingga ke akhir hayatnya dan banyak menabur bakti dalam memajukan sukan tersebut terutama di Terengganu.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menerusi satu hantaran di laman Facebook turut berduka dengan kehilangan Rajemah dan mengucapkan salam takziah kepada keluarga arwah berhubung berita pemergiannya.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” ujarnya.

Pada zaman kegemilangannya sekitar tahun 1960-an, Allahyarhamah pernah memenangi pingat perak Sukan Semenanjung Asia Tenggara Ketiga di Kuala Lumpur 1965 melalui acara kegemarannya 80 meter (m) lari berpagar wanita.

Rajemah juga turut meraih gangsa 4x100m bersama Datuk M. Rajamani, P. Savathri dan Cheryl Doral pada Sukan Asia 1966 di Bangkok. – K! ONLINE

COMMENTS