Terima suapan bulanan dari pemilik pusat hiburan, Ketua Balai Polis mengaku tidak bersalah

Terima suapan bulanan dari pemilik pusat hiburan, Ketua Balai Polis mengaku tidak bersalah

Terima suapan bulanan dari pemilik pusat hiburan, Ketua Balai Polis mengaku tidak bersalah. Seorang Ketua Balai Polis (OCS) di Melaka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas didakwa meminta, menerima rasuah dan suapan bulanan bernilai keseluruhan RM21,800 daripada pemilik pusat hiburan, dua tahun lalu.

Terima suapan bulanan dari pemilik pusat hiburan, Ketua Balai Polis mengaku tidak bersalah

Tertuduh, Abdul Halim Alias, 59 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus lima pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut dua pertuduhan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, tertuduh didakwa meminta wang tunai RM8,000 daripada pemilik sebuah pusat hiburan yang dikatakan telah melanggar pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Tertuduh turut didakwa meminta wang tunai RM1,000 secara bayaran bulanan daripada pemilik sama, iaitu Hang Kah Joonz, supaya tidak mengambil tindakan terhadap pusat hiburan miliknya.

Kesalahan itu dilakukan pada 4 Ogos 2020 lalu di Restoran The Stage Music Lounge Plt, Kota Shahbandar Melaka.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Tertuduh yang berpangkat Sub Inspektor turut berdepan tiga lagi pertuduhan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana bersetuju dan telah memperoleh sejumlah suapan daripada individu sama antara 4 dan 11 Ogos di dua lokasi berbeza iaitu di pusat hiburan terbabit serta di bilik pejabat, Balai Polis Tengkera, Melaka Tengah.

Bagi tiga pertuduhan di bawah seksyen itu, tertuduh juga bakal berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Irwanshah Abdul Samat mencadangkan jaminan RM5,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan passport kepada mahkamah selain melaporkan diri ke pejabat SPRM Melaka setiap bulan.

Elesabet pada penghakimannya kemudian bersetuju membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 beserta syarat-syarat tambahan berkenaan dan menetapkan 20 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork.