TERBARU !!! Kren jatuh- Prolintas sahkan tiga maut

TERBARU !!! Kren jatuh- Prolintas sahkan tiga maut

Pemaju Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn. Bhd. mengesahkan tiga maut manakala seorang lagi parah dalam kejadian kren jatuh di projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Jalan Alam Damai, Cheras di sini pagi tadi.

Katanya, kejadian itu melibatkan tiga pekerja warga asing dan seorang pengguna jalan raya.

“Siasatan awal mendapati mereka yang maut merupakan tiga pekerja warga China manakala yang cedera parah merupakan seorang pemandu kereta warga tempatan.

“Kejadian difahamkan berlaku apabila salah satu daripada komponen kren gantri terjatuh dan punca kejadian masih lagi dalam siasatan,”katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Susulan kejadian tersebut, pasukan ‘Emergency Response Team’ SUKE bersama anggota bomba telah menutup laluan trafik di kedua-dua hala bagi memberi ruang kerja-kerja menyelamat mangsa dijalankan.

Terdahulu, Kosmo! Online hari ini melaporkan tentang kejadian komponen kren jatuh di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Jalan Alam Damai, Cheras.

Kejadian kira-kira pukul 8.40 pagi itu mengakibatkan sekurang-kurangnya tiga maut manakala seorang pengguna jalan raya cedera selepas kereta dipandunya dihempap komponen kren yang terjatuh.- K! ONLINE