Terang-terang pukul warga emas, lelaki mengaku tidak bersalah

Terang-terang pukul warga emas, lelaki mengaku tidak bersalah

Terang-terang pukul warga emas, lelaki mengaku tidak bersalah.

Seorang juruteknik sebuah syarikat automotif yang tular memukul lelaki warga emas, Ahad lalu, didakwa di Mahkamah Majistret semalam.

Terang-terang pukul warga emas, lelaki mengaku tidak bersalah

Muhammad Zulkifli selepas prosiding pertuduhan di Mahkamah Majistret Shah Alam

Tertuduh, Muhammad Zulkifli Che Su, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.

Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Zulkifli didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Zainol Din Hussein,61 di Jalan Padang Jawa di sini pada pukul 12 tengah hari, 22 Mei lalu.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Erneetha Kaur menawarkan jaminan RM6,000 bersama penjamin serta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa.

Peguam Abi Mursyidin Awal mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan RM2,000 dengan anak guamnya tidak mempunyai rekod lampau.

“Dia bekerja sebagai pomen dengan gaji RM1,800 dan menanggung kedua ibu bapanya di kampung.

“Mangsa yang terlibat berpengaruh di kawasan kejiranan selepas kejadian itu, tertuduh dibelasah di kawasan kejiranan. Jadi, adalah mustahil untuk kembali ke tempat itu dan bukan mudah dekati mangsa,” jelasnya.

Abi Mursyidin turut memohon arahan dikeluarkan oleh mahkamah agar mana-mana pihak termasuk media tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sehingga menyebabkan subjudis kepada mangsa dan anak guamnya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM2,000 bersama seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan.

Berkenaan permohonan pihak pembelaan, Muhammad Syafiq menjelaskan masih terlalu awal untuk ‘gag order’ pada hari pertama pendakwaan malah tiada permohonan berkenaan dibuat kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan 13 Julai depan.