Tamakkan duit insurans, suami bunuh isteri hamil selepas ambil swafoto

Tamakkan duit insurans, suami bunuh isteri hamil selepas ambil swafoto

Kejamnya seorang suami apabila membunuh isterinya yang sarat hamil dengan menolaknya dari curam hanya beberapa minit selepas mengambil swafoto bersama, semata-mata mahu menuntut pampasan insurans hayat wanita malang itu.

Hakan Aysal, 40, ditahan kerana membunuh isterinya Semra Aysal, 32, dan anak dikandung wanita itu ketika mereka bercuti di Butterfly Valley di Mugla, Turki, lapor news.com.au.

Aysal didakwa menolak Semra yang hamil tujuh bulan menyebabkan mangsa dan anaknya terbunuh serta-merta pada Jun 2018.

Hanya beberapa minit sebelum itu, pasangan berkenaan mengambil gambar bersama, dan pendakwa berkata lelaki itu cuba memperlihatkan kejadian itu sebagai satu kemalangan.

Menurut pendakwa, Aysal sebenarnya mahu menuntut wang pampasan insurans isterinya yang baru diambil wanita itu sebelum kematiannya.

Daily Mail melaporkan Aysal merancang pembunuhan isterinya dengan mengambil insurans kemalangan bernilai 400,000 Lira manakala dia merupakan benefisiari tunggal.

Malah, pendakwa berkata pasangan itu berada di bukit tinggi berkenaan selama tiga jam kerana Aysal mahu memastikan tiada orang nampak dia melakukan perbuatan keji itu.

Sebaik menyedari tiada orang lain, Aysal terus menolak Semra dari curam tersebut.

Malah, Aysal cuba memfailkan tuntutan insurans, namun ditolak sebaik berita siasatan kes bunuh itu terbongkar.

Mahkamah Tinggi Fethiye memerintahkan lelaki itu ditahan reman selepas didakwa atas tuduhan membunuh.

Sementara itu, dalam satu rakaman video temu bual abang mangsa, Naim Yolcu didengar berkata: “Ketika kami pergi menuntut jenazah, kami sekeluarga memang terlalu sedih namun Aysal seperti tiada perasaan langsung.

“Semra sebenarnya bukan orang yang suka berhutang, namun selepas kematiannya kami mendapat tahu suaminya mengambil tiga pinjaman atas namanya.”

Menurut Naim lagi, adiknya itu juga gayat dan takutkan tempat yang tinggi.

Sementara itu, Aysal mendakwa tidak perasan dia adalah benefisiari tunggal untuk insurans isterinya itu, selain menafikan membunuh mangsa.

“Selepas mengambil gambar, dia menyimpan telefon dalam begnya.

“Kemudian, dia meminta saya mengambil telefon itu semula. Ketika bangun mengambil beg itulah saya terdengar jeritannya dan apabila menoleh dia sudah tiada di situ.

“Saya tidak menolaknya,” kata Aysal.

Sumber | FMT