Tak tunjuk rasa kasihan dalam kes ibu tunggal, bekas menteri selar kerajaan

Tak tunjuk rasa kasihan dalam kes ibu tunggal, bekas menteri selar kerajaan

Tak tunjuk rasa kasihan dalam kes ibu tunggal, bekas menteri selar kerajaan. Ibu tunggal yang mendapat perintah mahkamah membabitkan hak penjagaan tiga anaknya, namun tidak dapat dikuatkuasakan kerana terdapat dalam kalangan pihak berkuasa didakwa kurang menerapkan sikap kasihan dan ihsan, kata bekas menteri.

Tak tunjuk rasa kasihan dalam kes ibu tunggal, bekas menteri selar kerajaan

P Waytha Moorthy, yang juga Presiden Parti Kemajuan Malaysia berkata, tidak dapat “diterima sama sekali” bahawa ibu berkenaan, Loh Siew Hong, terpaksa memfailkan permohonan habeas corpus bagi mendapatkan semula anak-anaknya walaupun sudah mempunyai perintah sah mahkamah.

Beliau berkata, Loh sepatutnya tidak memerlukan permohonan habeas corpus bagi mendapatkan hak penjagaan anaknya yang dikatakan memeluk Islam secara sepihak.

“Pihak berkuasa kerajaan dan menteri perlu menghormati perlembagaan dan undang-undang di negara ini dan tidak memperlakukannya mengikut kehendak dan hasrat mereka. Ini bukan hal pertikaian agama.

“Jelas sekali bahawa kes ini membabitkan si ibu yang anaknya diculik suaminya selepas mereka berpisah, yang dilaporkan berada di penjara atas tuduhan membabitkan dadah.

“Siapa lagi yang mampu menjaga dan memberi kasih sayang kepada anak-anak ini jika bukan ibu sendiri? Adakah ini yang dikatakan prinsip Keluarga Malaysia yang dipromosikan kerajaan?” katanya dalam hantaran di Facebook.

Loh diberikan hak penjagaan penuh membabitkan anak kembar perempuan berusia 14 tahun dan anak lelaki berusia 10 tahun selepas penceraian dengan suaminya dimuktamadkan tahun lalu, namun ibu berkenaan tidak dapat menjejak anak-anaknya.

Selepas beberapa laporan polis dibuat selain disokong badan bukan kerajaan (NGO), wanita berkenaan mendapati tiga anaknya itu berada dalam penjagaan orang asing. Loh dimaklumkan bahawa anak-anaknya itu sudah memeluk Islam dan dikatakan mempunyai nama baharu.

Wanita itu berkata, anak-anaknya kelihatan tertekan, justeru dia mengambil keputusan secara sementara untuk meletakkan hak penjagaan mereka di bawah Pusat Kebajikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Jitra, Kedah.

Tindakan itu dilakukan sementara menunggu permohonan habeas corpusnya didengar di mahkamah Kuala Lumpur, pada 21 Feb.

Waytha Moorthy juga mahu pihak berkuasa agama di Perlis menyelamatkan anak-anak itu dan menyerahkan mereka kepada polis dengan berkata, tidak sepatutnya mereka dipisahkan daripada ibu mereka.

Beliau berkata, isu berkenaan tidak sepatutnya dilihat dari segi pertikaian antara agama kerana status penukaran agama anak-anak bawah usia telah diselesaikan di Mahkamah Persekutuan, iaitu merujuk kepada kes M Indira Gandhi.

“Di mana belas kasihan pihak berkuasa termasuk Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat? Sehingga pihak berkuasa menghormati undang-undang di negara ini, rakyat akan terus ditindas oleh mereka yang berkuasa dan mempunyai autoriti,” katanya.

 

Turut baca