“Tak rasa sakit pun kena suntik vaksin” -PM

“Tak rasa sakit pun kena suntik vaksin” -PM

“Tak sakit, tak rasa apa pun. Macam suntikan biasa sahaja. Tahu-tahu dah selesai.

Itu reaksi bersahaja Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sejurus selesai menerima vaksin Covid-19 di Pusat Kesihatan Putrajaya di Presint 11 di sini hari ini.

Beliau merupakan individu terawal yang menerima vaksin Comirnaty, Pfizer-BioNTech hari ini sekali gus menandakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula di seluruh negara.

Turut menerima vaksin di klinik sama ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Perdana Menteri turut menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana proses vaksinasi yang berlangsung hari ini berjalan lancar seperti yang diharapkan.

“Kalau lihat keadaan saya setakat ini, alhamdullilah (tiada kesan sampingan yang timbul),” katanya.

Pada masa sama, beliau menyeru semua rakyat Malaysia yang layak diberikan suntikan vaksin untuk mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera dan mendapatkan suntikan vaksin masing-masing seperti yang dijadualkan.

“Saya percaya vaksin ini cukup selamat dan berkesan. Masyarakat tidak perlu bimbang dan tampil ke hadapan untuk mendaftar supaya dapat ditentukan giliran bagi menerima vaksin Covid-19 nanti,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri selamat menerima suntikan vaksin Covid-19 keluaran Pfizer kira-kira pukul 2.30 petang tadi.

Suntikan kepada beliau dibuat oleh vaksinator iaitu Ketua Jururawat Kesihatan PKD Putrajaya, Lina Ibrahim. – K! ONLINE