Tak puas hati keputusan Mahkamah Tinggi, Rosmah kemuka rayuan

Tak puas hati keputusan Mahkamah Tinggi, Rosmah kemuka rayuan

Tak puas hati keputusan Mahkamah Tinggi, Rosmah kemuka rayuan.  Rosmah Mansor hari ini mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukuman terhadapnya bagi tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah, 70, memfailkan notis rayuan tersebut menerusi Tetuan Akberdin & Co di Mahkamah Rayuan menerusi e-mel.

Peguam, Akberdin Abdul Kader, yang mewakili Rosmah ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Menurut notis rayuan, Rosmah tidak berpuas hati dengan keseluruhan keputusan Hakim Zaini Mazlan semalam dan ingin merayu terhadap keputusan yang mensabitkannya mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta hukuman penjara dan denda mengikut Seksyen 24 (1) Akta SPRM 2009.

Isteri bekas perdana menteri, Najib Razak itu, turut memfailkan rayuan terhadap keputusan Zaini yang menolak permohonannya supaya hakim itu menarik diri daripada mendengar dan membuat keputusan kes tersebut.

Semalam, Mahkamah Tinggi menjatuhi hukuman penjara berjumlah 30 tahun dan denda RM970 juta ke atas Rosmah selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah.

Rosmah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan. Bagaimanapun, beliau hanya akan menjalani hukuman penjara 10 tahun kerana Zaini memerintahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak.

Mahkamah juga memerintahkannya dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Zaini dalam penghakimannya antara lain memutuskan bahawa pembelaan Rosmah hanya penafian semata-mata dan wang RM6.5 juta memang untuknya dan beliau menerima wang itu, di kediamannya di Jalan Langgak Duta serta Seri Perdana.

Dalam penghakiman setebal 116 halaman, hakim itu juga memutuskan bahawa Rosmah telah menguasai suaminya, Najib dan mempunyai kawalan ke atas bekas perdana menteri itu dan jelas daripada rakaman klip audio “Can I advise you something” antara Najib dan Rosmah yang tular sebelum ini bahawa tertuduh memberi arahan kepada Najib berhubung urusan kerajaan.

Tak puas hati keputusan Mahkamah Tinggi, Rosmah kemuka rayuan