Tak dapat wang beli dadah, anak ugut bunuh keluarga sendiri

Tak dapat wang beli dadah, anak ugut bunuh keluarga sendiri

Berang tidak dapat wang untuk membeli dadah, seorang lelaki sanggup ugut keluarganya dan merosakkan motosikal ayahnya di Kampung Setol di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 9 malam ketika pesara berusia 60 tahun itu pulang dari kedai berhampiran mendapati anaknya mengamuk dan mengetuk motosikal jenis Yamaha Ego miliknya menggunakan sebatang kayu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, selain merosakkan motosikal ayahnya, suspek berusia 33 tahun itu turut mengugut akan membunuh semua ahli keluarganya jika enggan memberi wang kepadanya.

“Ugutan itu didengari anak perempuan mangsa sebelum dia menghubungi pihak polis bagi memaklumkan kejadian kerana bimbang akan keselamatan keluarganya.

“Susulan itu, pihak polis dikerahkan ke lokasi kejadian sebelum menahan suspek,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Noorzainy, polis tidak menolak kemungkinan suspek bertindak luar kawalan susulan berang tidak dapat wang untuk membeli dadah.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah selain mempunyai rekod lampau berkaitan Seksyen 30 Akta Racun.

“Suspek kini ditahan bagi siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan 427 akta yang sama. | MG