Tajuddin dilihat menjadi penyokong Anwar Ibrahim?

Tajuddin dilihat menjadi penyokong Anwar Ibrahim?

Tajuddin dilihat menjadi penyokong Anwar Ibrahim?

Sejak bila Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Tajuddin Rahman menjadi penyokong Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim?

Dalilnya beliau dengan kini rela mendedahkan pembohongan dan rahsia pimpinan tertinggi partinya, Umno dan sekaligus kelihatan menjaja kempen Anwar bukan pembohong.

Dalam kecamuk yang dipercikkan oleh konspirasi Langkah Sheraton dan meruntuhkan kerajaan Malaysia yang dipimpin Pakatan Rakyat, Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti yang “kukuh dan meyakinkan” untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Anwar Ibrahim

Pengumuman Anwar disanggah oleh permainan politik Umno dan Bersatu serta PAS dengan pelbagai strategi licik media bahawa dakwaan Anwar itu hanya omong kosong dan bohong.

Bagaimanapun apabila Tajuddin Rahman menjadi mangsa kerakusan pemimpin tertinggi Umno hingga dipecat dari menjadi ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang dipilih oleh Perhimpunan Agung Umno, beliau kelihatan melondehkan kebejatan dan integriti bobrok Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Tajuddin mendedahkan Anwar tidak berbohong ketika membuat dakwaan bahawa beliau memang mempunyai majoriti yang kukuh dan meyakinkan ketika itu.

Kata Tajuddin, Zahid dan pimpinan tertinggi Umno cuba menafikan dakwaan Anwar dengan menyorokkan hakikat memang benar ada berbelas akuan bersumpah ahli Parlimen Umno yang menyokong Anwar menjadi perdana menteri. Tajuddin mengaku beliau melihat sendiri bukti itu.

Zahid Hamidi, Tajuddin Rahman

Perkara ini diulas oleh seorang penulis yang menggunakan nama Norman Razuan dalam media sosial dan menegaskan bahawa pendedahan Tajuddin itu sekaligus membersihkan nama baik Anwar.

Kata Norman, Tajuddin dan sebelum itu, Nazri Aziz telah mengesahkan Anwar tidak berbohong. Sindiran pemimpin-pemimpin parti dari BN, PN dan PH sendiri dengan memperli dakwaan Anwar ‘strong, formidable, convincing’, ‘majority to form government’, terbukti bukan omong kosong.

Pada satu segi, pendedahan Tajuddin yang menyifatkan dirinya saksi hidup (living witness) mungkin dibuat kerana merasakan dirinya “dianiayai” Zahid yang memecatnya daripada menjadi anggota MKT Umno.

Namun implikasi pendedahannya itu membuka lembaran baharu dalam kekalutan politik Malaysia hari ini. Jika benar beliau mengetahui dan pernah melihat bukti bahawa Anwar mendapat sokongan majoriti di Parlimen, ini mungkin meninggalkan kesan besar pada keluhuran politik negara.

Setidak-tidaknya natijah pendedahan Tajuddin ini seharusnya menggugah dhomir setiap ahli Umno dan rakyat supaya menuntut bahawa kesahihan dakwaan Tajuddin itu wajib disiasat.

Oleh kerana dakwaan “living witness” ini membabitkan maruah negara dan mempunyai kesan kepada wibawa kerajaan Malaysia wajiblah polis dan Suruhanjaya Penyiasatan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat untuk membuktikan ia tidak benar!

Betapa tidaknya, jika kata Tajuddin benar, maka buruklah pandangan dunia betapa benarnya kerajaan yang memerintah negara kini tidak mengikut lunas demokrasi. Ertinya, kerajaan haram.

Persoalannya mengapa Anwar tidak mendedahkan atau lebih tepat lagi membuktikan sokongan yang sudah didokumentasi dalam bentuk Perakuan Bersumpah daripada ahli-ahli Parlimen Umno lebih awal?

Jawapannya mungkin berkait soal prinsip. Sebagai seorang ahli politik yang bermaruah sudah pasti Anwar tidak mahu meletakkan kedudukan ahli-ahli Parlimen Umno yang menyokongnya dalam bahaya kerana telah membuat akuan bersumpah berkenaan.

Sudah pasti mereka sedar bukan mudah melepaskan diri daripada dendam kesumat pemimpin tertinggi Umno yang mahu menggelosorkan diri daripada cengkaman undang-undang kerana dosa tidak amanah dalam menguruskan tanggungjawab mentadbir negara.

“Anwar hampir lapan bulan tetap merahsiakan SD (akuan bersumpah) yang ada di tangannya demi menjaga nama baik “members of parliament” yang menyokongnya… itulah Anwar pemimpin yang boleh dipercayai oleh musuh dan kawan,” kata Norman.

Beliau juga menulis bahawa Anwar tidak perlu membocorkan rahsia tetapi rahsia itu kini dibocorkan oleh pemimpin Umno sendiri.

Mungkin Tajuddin perlu menangguhkan pemergiannya ke Jakarta untuk memikul tanggungjawab baharu sebagai duta besar dan membantu pihak berkuasa menyiasat kedudukan sebenar proses pemilihan perdana menteri Malaysia.

Harap-harapnya juga Tajuddin tidak membuat pendedahan ini hanya kerana Zahid telah meruntuhkan masa depan kerjaya politiknya. Jika beliau ikhlas, mungkin ini akan menjadi bukti bahawa beliau adalah wira yang membersihkan nama baik Malaysia.

Memang umum mengetahui bahawa Tajuddin bersikap agak kasar dalam pendekatan politiknya selama ini. Beliau kadangkala dilihat celupar dan pemarah.

Namun adakah kali ini beliau mempertaruhkan segalanya demi membuktikan “pengorbanannya dalam politik adalah luhur dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga atau cuba “meluruskan benang basah” belaka?

Apa pun, Tajuddin bertindak balas sedemikian kerana “diprobok” oleh Zahid.