Tajuddin ‘dedah’ 130 ketua bahagian sokong Zahid undur diri

Tajuddin ‘dedah’ 130 ketua bahagian sokong Zahid undur diri

Tajuddin ‘dedah’ 130 ketua bahagian sokong Zahid undur diri.

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menyambut baik penggugurannya daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO namun mencadangkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mengundurkan diri secara baik.

Beliau berkata, cadangan itu telah dilakukan terlebih dahulu pada Mei 2020 lalu yang diketuai Datuk Seri Mohamad Hasan serta disertai Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, cadangan tersebut dibuat bagi menyatakan kebimbangan kes-kes mahkamah yang dimiliki Ahmad Zahid sekali gus boleh menjejaskan imej UMNO.

“Tok Mat dan Najib dan lain lain yang saya sebutkan tadi telah buat satu memorandum pada Mei 2020 di rumah saya. Terdapat 130 ketua bahagian yang menyokong ketika itu.

“Kita nak minta Zahid turun secara baik. Jika beliau sayangkan perjuangan parti maka lepaskanlah jawatan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Hotel Eastin hari ini.

Mengulas berkenaan mengapa beliau digugurkan, Tajuddin menjelaskan bahawa tiada satu tunjuk sebab yang kukuh dan munasabah melibatkan perkara itu.

“Saya tidak tahu nak kata apa, dalam surat tiada tunjuk sebab malah saya menerima surat ucapan tahniah daripadanya ketika dilantik menjadi duta,” ujarnya.

Jelasnya, peranan beliau sebagai MKT UMNO adalah untuk menjaga kepentingan dan perjuangan parti.

“Namun, dalam perbincangan Majlis Tertinggi, isu yang dibangkitkan merugikan parti. Saya kena bersuara dan tidak boleh duduk diam,” katanya.