Syarikat konsesi ibarat ‘mencuri nasi dari pinggan orang miskin’ – Adun Senggarang

Syarikat konsesi ibarat ‘mencuri nasi dari pinggan orang miskin’ – Adun Senggarang

Saya banyak dihujani oleh aduan-aduan daripada Kontraktor-Kontraktor Kecil Bumiputra Melayu yang merasa terkilan dengan cadangan Kerajaan Negeri Johor melantik sebuah syarikat konsesi untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan jalan-jalan MARRIS yang dianggarkan bernilai lebih dari RM500 juta setahun.

Sebelum ini kerja-kerja tersebut diurus oleh Pejabat Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan secara tender, sebutharga dan undi.

Syarikat Safwa Global Sdn Bhd yang telah dilantik, dijangka akan memulakan kerja-kerja tersebut pada tahun ini.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri telah melantik syarikat-syarikat konsesi seperti Teto Sdn Bhd dan Amona Sdn Bhd untuk membuat kerja-kerja penyelenggaraan jalan-jalan negeri dan Infra Desa (Johor) Sdn Bhd untuk kerja-kerja jalan kampung. Kerajaan Persekutuan pula telah melantik Selia Selenggara Sdn Bhd untuk penyelenggaraan jalan-jalan persekutuan.

Saya amat bersimpati dengan situasi yang dihadapi oleh kontraktor-kontraktor kecil tersebut apabila peluang berniaga yang sedia sempit sebelumnya, mereka terus merasakan terhimpit dengan adanya perlantikan syarikat konsesi baharu tersebut.

Saya dimaklumkan syarikat-syarikat konsesi tersebut mendapat tawaran kontrak dengan kadar harga yang lebih tinggi daripada harga kebiasaan.

Syarikat-syarikat tersebut akan mengurus perlantikan syarikat-syarikat kecil untuk melaksanakan kerja konsesi dengan tawaran harga yang lebih rendah walaupun diselia oleh Johor Center for Construction Development (JCCD).

Ada kecenderungan syarikat konsesi ini melantik syarikat besar yang mempunyai jentera dan mesin-mesin yang cukup serta mempunyai keupayaan modal sehingga mereka tidak perlu menanggung risiko gagal.

Hanya sebahagian daripada kerja-kerja konsesi tersebut yang diagihkan kepada kontraktor-kontraktor kecil.

Tidak terhenti setakat itu, syarikat-syarikat kecil yang dipilih kebanyakannya juga tediri daripada mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan pihak pengurusan syarikat-syarikat konsesi.

Lebih malang apabila syarikat hanya menggunakan lesen syarikat Melayu tersebut dengan menawar dalal atau komisen dengan peraturan tertentu.

Maka lahirlah Ali-Baba Abad Baru. Kalau diselusuri dengan lebih lanjut akan terselah cerita-cerita sedih kontraktor dan penyimpangan tatakerja dan sebagainya daripada sistem perlantikan syarikat konsesi ini. Kes-kes seperti pembayaran lewat, pemotongan harga dan lain-lain lagi adalah diantara perkara biasa yang dialami apabila membuat kerja-kerja syarikat konsesi tersebut.

Di atas semua maklumat-maklumat yang diperolehi itu, saya memohon agar pihak kerajaan mengkaji semula akan sistem perlantikan syarikat konsesi untuk kerja-kerja penyelenggaran jalan-jalan MARRIS tersebut.

Mengapa kerajaan terpaksa membazirkan peuntukan yang lebih kepada syarikat-syarikat konsesi sedangkan kerajaan mempunyai jabatan seperti Jabatan Kerja Raya, Pihak Berkuasa Tempatan dan sebagainya yang sedia mempunyai kepakaran untuk menjalankan kerja-kerja tersebut.

Apabila penyelewengan boleh berlaku dalam jabatan-jabatan berkenaan, maka penyelewengan yang lebih besar boleh juga berlaku dalam pengagihan kerja bilamana ianya diserahkan kepada pihak swasta. Tentunya yang menjadi mangsa adalah kontraktor kecil melayu yang terkesan dengan himpitan sistem tersebut.

Saya sendiri dan semua orang yang menyedari suasana tersebut boleh membuat tanggapan bahawa syarikat-syarikat konsesi yang ada merupakan syarikat yang membuat keuntungan di atas angin.

Bertindak sebagai orang tengah, syarikat-syarikat konsesi mendapat pesanan kerja daripada pihak kerajaan. Mereka mengagih-mengagih kerja berkenaan kepada kontraktor yang berkemampuan dengan kadar harga yang lebih rendah.

Kerja-kerja kontraktor dibayar setelah syarikat konsesi mendapat bayaran daripada pihak kerajaan. Dakwaan syarikat-syarikat konsesi untuk membantu kontraktor-kontraktor kecil adalah hanya penyedap hawa telinga, hakikatnya hanya omong-omong belaka.

Sekali lagi saya mendesak pihak Kerajaan Persekutuan melalui Menteri Kewangan dan Kerajaan Negeri buatlah ‘reform’, bergeraklah ke arah yang lebih baik. Dalam dunia yang sangat terbuka sekarang, semua pihak terdedah kepada pemerhatian rakyat.

YB Khairuddin A.Rahim
ADUN Senggarang.

Sumber : FB