Syak ‘campur tangan ghaib’ penggabungan anak syarikat KTMB, kesatuan pekerja lapor SPRM

Syak ‘campur tangan ghaib’ penggabungan anak syarikat KTMB, kesatuan pekerja lapor SPRM

Kesatuan Pekerja-pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KPPKTMB) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mendesak siasatan dijalankan berhubung penggabungan yang didakwa tidak masuk akal serta berat sebelah antara anak syarikat KTMB dan sebuah syarikat swasta.

Setiausaha KPPKTMB, R Subramaniam mendakwa penggabungan KTMB Technics Sdn Bhd dan Destini Rail Sdn Bhd memperjudikan nasib lebih 6,000 ahlinya.

“Kami membuat laporan kepada SPRM kerana mendapati perjanjian penggabungan KTMB Technics dan syarikat berkenaan merugikan syarikat dan kakitangan kerana sekarang kita hanya mendapat 30% daripada nilai saham keseluruhannya berbanding Destini memperoleh 70%, walaupun sebelum ini 100% milik KTMB.

“Kita juga pelik kenapa ahli lembaga pengarah, terutama pengerusi KTMB dan pengurusan kanan bersetuju menyerahkan anak syarikat yang menguruskan projek penambahbaikan kereta api bernilai jutaan ringgit kepada Destini, sedangkan mereka tidak mempunyai kepakaran dan tenaga kerja berbanding KTMB yang sudah berpuluh tahun terbabit dalam bidang ini,” katanya selepas membuat laporan di ibu pejabat SPRM.

Beliau berkata, pihaknya mengesyaki ada yang tidak kena memandangkan syarikat swasta itu hanya mahir dalam aspek pengurusan dan kejuruteraan marin, bukannya kerja membaik pulih kereta api.

“Kalau KTMB pegang saham 70%, syarikat berkenaan mendapat 30% memang logik dan kita tidak akan mempersoalkan. Tetapi, apabila sebaliknya berlaku, maka kami percaya ada sesuatu yang berlaku di sebalik penggabungan tidak munasabah ini.

“Justeru, kami berharap SPRM dapat menjalankan siasatan terperinci kerana kami mahu tahu macam mana ahli lembaga pengarah dan pengerusi KTMB boleh meluluskan penggabungan merugikan syarikat,” katanya yang mendakwa syarikat swasta itu dikatakan tidak mempunyai kedudukan kewangan kukuh.

Beliau mengesyaki terdapat “campur tangan ghaib” yang memudahkan kelulusan penggabungan tidak munasabah anak syarikat KTMB itu.

Subramaniam juga menggesa perdana menteri campur tangan untuk menghentikan penggabungan itu.

“Jika semua usaha ini tidak berjaya, kami tidak teragak-agak untuk mengadakan mogok bagi menuntut penggabungan yang merugikan KTMB dan kakitangannya dihentikan serta-merta.”| FMT