Susulan demo gesa Azam Baki berundur, pemimpin PKR dipanggil polis

Susulan demo gesa Azam Baki berundur, pemimpin PKR dipanggil polis

Polis memanggil beberapa pemimpin muda PKR susulan demo menggesa agar Azam Baki berundur daripada jawatannya sebagai pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya semalam.

Ketua Pemuda PKR (AMK) Akmal Nasir, berkata dia dan beberapa lagi pemimpin dipanggil ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Putrajaya esok untuk siasatan mengikut Akta Perhimpunan Aman.

“Ekoran konvoi bantahan ini, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memanggil beberapa orang kepimpinan AMK untuk hadir ke IPD Putrajaya esok untuk disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman.

“Antara yang dipanggil ialah saya sendiri, SThiban iaitu Naib Ketua AMK, Syukri Razab (Setiausaha AMK) serta P Prabakaran (Ketua AMK Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Batu),” katanya.

Akmal dalam kenyataan hari ini berkata mereka akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis, namun bertegas agar ugutan terhadap pemberi maklumat dan kumpulan pendesak perlu dihentikan segera.

“Azam perlu dicutikan untuk siasatan rapi dapat dijalankan,” katanya.

Semalam, sekumpulan anggota AMK berkumpul di depan Ibu Pejabat SPRM bagi mendesak Azam meletakkan jawatan sebagai ketua pesuruhjayanya.

Mereka turut menuntut siasatan kerajaan terhadap pemilikan saham Azam, termasuk yang dibeli adiknya, Nasir, menggunakan namanya.

Kira-kira 30 orang yang diketuai Akmal dan Prabakaran berhimpun bagi menuntut kerajaan memulakan siasatan terhadap Azam berhubung skandal pemilikan saham dalam dua syarikat senaraian awam.

Bantahan bermula dengan kira-kira 20 kereta kumpulan itu yang berkonvoi tiba dari Dataran Putra, berhampiran Pejabat Perdana Menteri, ke premis SPRM sebelum menyerahkan memorandum ringkas bertulis “Undur Azam Baki”.

Dalam kenyataan sama, Akmal berkata, Pemuda PKR akan terus memberi tekanan kepada kerajaan sehingga “krisis integriti” berkenaan ditangani dengan serius.

“Justeru AMK akan menyerahkan Memorandum Rakyat di hadapan Bangunan Parlimen ketika Persidangan Khas Parlimen pada 20 Jan ini.

“Bagi menjadikan serahan memorandum ini sebagai referendum kebimbangan rakyat, AMK akan mengadakan konsultasi bersama para aktivis, kumpulan masyarakat sivil, NGO, aktivis mahasiswa serta kumpulan pendesak lain,” kata Ahli Parlimen Johor Bahru itu.

Sumber | MK