Suspek tembak pengawal keselamatan berjaya ditahan

Suspek tembak pengawal keselamatan berjaya ditahan

Suspek tembak pengawal keselamatan berjaya ditahan. Seorang suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian rompakan hingga menyebabkan seorang pengawal keselamatan terbunuh dan rakannya cedera berdekatan sebuah bank di Puchong Prima, di sini berjaya diberkas petang tadi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, lelaki tempatan yang berusia 30-an itu berjaya diberkas di sekitar kawasan Shah Alam kira-kira pukul 7 malam.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek bergerak seorang diri.

“Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan berhubung kejadian tersebut,” ujarnya.

Suspek tembak pengawal keselamatan berjaya ditahan

Salah seorang pengawal keselamatan yang parah dalam kejadian tersebut.

 

Terdahulu, dilaporkan seorang pengawal keselamatan maut manakala rakan sekerjanya cedera akibat ditembak dalam kejadian rompakan berdekatan sebuah bank di Puchong Prima, dekat sini hari ini.

Siasatan awal mendapati kedua-dua pengawal keselamatan itu sedang membawa sejumlah wang dan mereka dikatakan sedang mengawal van keselamatan ketika kejadian.

Suspek yang menembak kedua-dua mangsa dipercayai berjaya meloloskan diri.