Sultan Johor kesal, poster lama bersama Najib diputar belit

Sultan Johor kesal, poster lama bersama Najib diputar belit

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kesal dengan penularan sebuah poster di media sosial yang memetik titah beliau kononnya memberi peluang kepada bekas Perdana Menteri, Najib Razak, diputar belit mengikut konteks yang tidak tepat.

Dalam kenyataan dimuatnaik di laman rasmi Facebooknya hari ini, Sultan Ibrahim berkata, pendapat beliau pada waktu itu adalah berkaitan situasi pentadbiran negara pada masa berkenaan dan tidak digunapakai dalam keadaan negara ketika ini.

Bagaimanapun katanya, penularan poster itu ketika ini berniat jahat dan jelas ingin mengheret Institusi Diraja Johor ke dalam isu politik semasa negara.

“Saya sedar kedudukan saya sebagai seorang Sultan bermaksud saya tidak berpihak kepada mana-mana parti mahupun ahli politik.

“Sebagai Raja Berperlembagaan saya tidak mencampuri mana-mana parti atau perikatan politik yang telah dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya umum.

“Ketika Johor melantik tiga Menteri Besar dalam tempoh dua tahun (2018-2020), saya telah menerima keputusan kerajaan berkenaan dan memberikan kerjasama kepada mereka semua,” katanya.

Beliau berkata, kepentingan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan beliau dan Institusi Diraja Johor, tidak kira siapa pun yang memegang tampuk pentadbiran kerajaan.

Kenyataan tular pada poster itu diambil daripada satu temubual eksklusif Sultan Ibrahim bersama akhbar The Star yang disiarkan pada 27 Dis 2015. | FMT

COMMENTS